ANGGOTA bomba memindahkan satu keluarga berikutan rumah mereka dinaiki air sedalam 1 meter selepas hujan lebat di Kampung Jalan Bandar Tinggi, Kuala Klawang, Jelebu, awal pagi hari ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba memindahkan satu keluarga berikutan rumah mereka dinaiki air sedalam 1 meter selepas hujan lebat di Kampung Jalan Bandar Tinggi, Kuala Klawang, Jelebu, awal pagi hari ini. FOTO ihsan bomba.
Abnor Hamizam Abd Manap


ENAM beranak dari Kampung Jalan Bandar Tinggi, Kuala Klawang, Jelebu terpaksa dipindahkan sebaik kediaman mereka dinaiki air susulan hujan lebat, awal pagi hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jelebu, Mohd Fazill Mohd Yunus, berkata semua mereka berusia enam hingga 40 tahun membabitkan pasangan suami isteri dan empat anak.

Katanya, hujan lebat bermula 8 malam hingga 12 tengah malam menyebabkan air Sungai Teriang, Jelebu melimpah hingga memasuki kediaman keluarga itu.

“Rumah keluarga berkenaan terletak 100 meter dari sungai dan mula dinaiki air pada paras satu meter pada 1 pagi.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 1.28 pagi dan mengerahkan sepasukan anggota ke lokasi bagi memindahkan semua mangsa,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Mohd Fazill berkata, pihaknya mengambil masa 20 minit bagi menjalankan kerja pemindahan dan mangsa dibawa ke rumah saudara mara yang terletak kira-kira tiga kilometer.

Katanya, siasatan mendapati air memasuki rumah keluarga itu berikutan tanah di kawasan kediaman baru ditambak.

“Buat masa ini mereka dipindahkan dan akan dibenarkan pulang sebaik air mulai surut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 8:56 AM