SEBAHAGIAN daripada anggota polis Ibu Pejabat Kompleks SMS PDRM  hadir untuk membuang undi awal sempena Pilihan Raya Kecil DUN Seri Setia N.32 di Ibu Pejabat Kompleks SMS PDRM, Shah Alam. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
SEBAHAGIAN daripada anggota polis Ibu Pejabat Kompleks SMS PDRM hadir untuk membuang undi awal sempena Pilihan Raya Kecil DUN Seri Setia N.32 di Ibu Pejabat Kompleks SMS PDRM, Shah Alam. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Faliq Lajim


PEMILIH berdaftar terdiri daripada 69 pegawai dan anggota polis melaksanakan tanggungjawab mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, bermula 8 pagi ini.

Pengundian awal itu dijalankan di pusat mengundi di Kompleks Stor Material Spesifik (SMS) TTDI Jaya, Shah Alam.

Tinjauan NSTP mendapati proses pengundian di lokasi itu setakat ini berjalan lancar dan terkawal.

Hadir sama, calon Pakatan Harapan bagi PRK itu, Halimey Abu Bakar.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood turut hadir meninjau pusat mengundi itu pada 10.30 pagi ini.

Pengundian awal itu membabitkan keseluruhan seramai 2,770 pengundi termasuk 173 pegawai dan anggota polis yang mengundi di Kompleks SMS Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini.

Proses pengundian akan berakhir 5 petang ini.

PRK Seri Setia diadakan selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, meninggal dunia akibat barah usus di Hospital Putrajaya, 2 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin menang kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi, menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff; calon PAS, Mohd Ghazali Daud dan calon Bebas, S Vigneswaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 11:15 AM