Seri Nor Nadiah Koris

MISC Berhad (MISC) memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan dakwaan kakitangannya terbabit rasuah dan salah guna kuasa membabitkan nilai lebih AS$27.8 juta (RM108.5 juta).

MISC dalam kenyataan berkata, pihaknya tidak bertolenrasi terhadap sebarang salah guna kuasa dan rasuah oleh kakitangan, anak syarikat atau mana-mana pihak yang mewakili syarikat itu.

"MISC komited sepenuhnya terhadap piawaian integriti dan akauntabiliti yang tertinggi sepanjang operasi perniagaan kami.

"Syarikat ini mematuhi etika perniagaan dan etika perniagaan Kumpulan MISC serta dasar selain garis panduan antirasuah dan salah guna kuasa," kata kenyataan itu.

Dalam laporan akhbar hari ini, kakitangan sebuah syarikat perkapalan tempatan disiasat SPRM kerana disyaki terbabit rasuah dan salah guna kuasa membabitkan nilai lebih AS$27.8 juta (RM108.5 juta).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat ada pegawai di syarikat perkapalan itu disyaki bersubahat dengan kontraktor mengemukakan tuntutan palsu berkaitan kerja penyelenggaraan kapal milik syarikat berkenaan.

Katanya, bagaimanapun kerja penyelenggaraan itu tidak dilaksanakan sejak 2010 hingga 2013.

Antara dakwaan disiasat adalah tuntutan bayaran kos pembaikan kapal tangki bernilai AS$15.8 juta (RM61.6 juta) pada 2012 sedangkan anggaran awal hanya AS$7.9 juta (RM30.8 juta).

Selain itu SPRM turut melakukan siasatan dakwaan mengenai kerja penyelenggaraan kapal yang mengalami kerugian sebanyak AS$12 juta (RM46.8 juta) kerana proses perlantikan kontraktor tidak mengikut prosedur perolehan ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 12:51 PM