DARI kiri, Abdul Jalil bersama Dr Aishah Ong (dua dari kiri) menerima replika cek bantuan  mangsa  banjir dan Rohingya  daripada  Faizah dan   Khairil Anuar.
DARI kiri, Abdul Jalil bersama Dr Aishah Ong (dua dari kiri) menerima replika cek bantuan mangsa banjir dan Rohingya daripada Faizah dan Khairil Anuar.
HM Digital

Kuala Lumpur: SME Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) menyumbang RM30,000 kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima dan RM22,220 kepada Tabung Kemanusiaan Rohingya Media Prima dengan jumlah keseluruhan RM52,220 bagi membantu mangsa banjir di Kelantan, Terengganu serta etnik Islam Rohingya yang menderita di Myanmar.

Replika cek sumbangan berkenaan disampaikan Pengerusi SME Bank Tan Sri Faizah Mohd Tahir kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah Media Prima-NSTP Humanitarian Fund Toh Puan Datuk Sri Dr Aishah Ong di Balai Berita The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP Datuk Jalil Abdul Hamid dan Pengarah Pengurusan Strategik Kumpulan SME Bank Khairil Anuar Mohammad Anuar.

Faizah berkata, sumbangan yang dihulurkan itu diharap dapat meringankan beban dan kesusahan yang menimpa mangsa banjir di negeri berkenaan dan juga etnik Rohingnya.

“Kami sentiasa mengambil berat bantuan yang boleh diberikan kepada mangsa yang terbabit banjir di dalam negara, malah bantuan kepada etnik Rohingnya turut diberikan.

“Dalam sumbangan dana ini, kami melakukan kutipan dalam kalangan pegawai dan kakitangan SME Bank serta sumbangan peribadi daripada pihak korporat bank untuk melaksanakan usaha murni ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan terkini mangsa banjir di dalam negara dan etnik Rohingnya yang sering dipinggirkan dan turut bersimpati dengan apa yang berlaku.

“Menyumbang kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima dan Tabung Kemanusiaan Rohingya Media Prima adalah yang terbaik kami boleh lakukan sebagai warga korporat yang bertanggungjawab dan ia sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang kami sentiasa jalankan.

“Kami juga menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai usaha memperjuangkan dan membantu krisis etnik Rohingnya di Myanmar,” katanya.

Sementara itu, Dr Aishah berkata, kutipan dana yang disumbangkan kepada Tabung Media Prima-NSTP akan dihulurkan kepada mana-mana bencana alam yang berlaku di dalam negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 7:10 AM