NUR Jazlan (kanan) bersalaman dengan Alwi yang hadir sempena Majlis Rumah Terbuka Timbalan Menteri Dalam Negeri. FOTO Zulkarnaian Ahmad Tajuddin
NUR Jazlan (kanan) bersalaman dengan Alwi yang hadir sempena Majlis Rumah Terbuka Timbalan Menteri Dalam Negeri. FOTO Zulkarnaian Ahmad Tajuddin
Ibrahim Isa


KERAJAAN tetap tidak akan melanjutkan tempoh permohonan kad sementara (E-Kad) kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas tempoh permohonannya tamat Jun lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, kementerian menerusi Jabatan Imigresen sudah beberapa kali memberi peringatan dan amaran kepada majikan sejak Februari lalu supaya mendaftarkan semua PATI di bawah seliaan mereka.

Katanya, berikutan itu, majikan tidak sepatutnya memberikan pelbagai alasan kononnya tidak tahu mengenai perkara itu atau pun tidak mempunyai masa untuk hadir ke Pejabat Imigresen untuk melakukan urusan E-Kad.

"Sama ada mereka (majikan) cuai atau lewat, kami tidak akan menerima apa-apa alasan sebaliknya tindakan akan diambil secara berterusan terhadap majikan yang masih menggaji PATI.

"Masa yang diberikan sungguh lama iaitu sejak Februari lalu supaya mendaftarkan PATI di bawah seliaan mereka, namun ada di antara mereka menunggu saat-saat akhir dan ada yang lewat berbuat demikian," katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang juga Ahli Parlimen Pulai di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Johor Bahru, hari ini.

Alwi berkata, mana-mana majikan yang memerlukan pekerja asing perlu menggunakan saluran betul dengan mengemukakan permohonan kepada Jabatan Imigresen.

"Mereka boleh mendapatkan pekerja asing secara sah dengan datang ke Pejabat Imigresen bagi melakukan permohonan untuk mendapatkan pekerja daripada negara yang dibenarkan kementerian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 5:43 PM