PENYOKONG pasukan Kedah menunjukkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia yang dibeli di Stadium Darul Aman.
PENYOKONG pasukan Kedah menunjukkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia yang dibeli di Stadium Darul Aman.
Oleh Aziman Rosdi dan Muhaamad Hafis Nawawi dan Syahid Sokri

Alor Setar: Cubaan ulat tiket mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia dengan menggunakan kuota penganjur rombongan bas gagal apabila berjaya dikesan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang menolak permohonan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Masuk KFA Shaharol Niza Omar berkata, pihaknya mengesan 10 permohonan untuk membeli tiket secara pukal dengan menghantar permit bas palsu.

Menurutnya, sehubungan itu, KFA terpaksa membatalkan permohonan itu dan menyenaraikan hitam nama mereka.

“Tindakan berkenaan dilakukan supaya tidak ada usaha menipu dalam pembelian tiket ini.

“KFA juga menerima peruntukan 31,000 tiket membabitkan 30,000 dewasa dan 1,000 kanak-kanak yang semuanya habis dijual sehingga jam 12 tengah hari tadi (semalam),” katanya.

Shaharol Niza berkata, sebanyak empat kaunter membabitkan lapan saluran dibuka dengan 6,000 tiket dijual secara pukal kepada penganjur rombongan bas.

“Kuota untuk ahli badan gabungan dan pegawai KFA pula diperuntukkan 4,000 tiket manakala selebihnya sebanyak 21,000 dijual di kaunter,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 10:27 AM