Chukai: Perasaan tidak puas hati dan ejek-mengejek dipercayai menjadi punca seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di Kuala Terengganu dibelasah rakan sebayanya.

Berikutan itu, tujuh remaja lelaki ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kejadian pukul selepas rakaman video itu tersebar di laman sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata, semua pelajar berusia 14 tahun itu ditahan di sekolah mereka, tengah hari semalam.

Menurutnya, mereka ditahan susulan laporan polis yang dibuat bapa mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu jam 11 pagi semalam.

Katanya, siasatan mendapati kejadian itu berlaku jam 3 petang, Khamis lalu di satu lokasi dipercayai di luar sekolah berkenaan.

“Enam pelajar didakwa membelasah mangsa manakala seorang lagi merakam aksi itu menggunakan telefon bimbit.

“Rakaman itu kemudian disebarkan dalam kalangan mereka sebelum menjadi viral di YouTube dan Facebook (FB),” katanya yang ditemui selepas menyaksikan majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kemaman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, di sini, semalam.

Video berdurasi 1 minit 45 saat itu menyaksikan berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa sebelum dia dipukul.

Beberapa rakan suspek yang masih memakai seragam sekolah dan kemeja-T turut memukul dan menyepak mangsa hingga menyebabkannya rebah.

Wan Abdul Aziz berkata, kejadian itu terbongkar selepas video turut disedari bapa mangsa menyebabkan dia membuat laporan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 8:12 AM