Temerloh: Seorang pekerja am Pengurusan Air Pahang (PAIP) Bera maut selepas kereta dipandunya bertembung treler di Kilometer 9, Jalan Triang-Temerloh, dekat sini, semalam.

Kejadian jam 8.20 pagi itu menyebabkan mangsa, Faizal Akmar Zamri, 30, berasal dari Perkampungan Seri Aman, Kuantan, meninggal akibat parah di kepala dan anggota badan.

Pemangku Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, kejadian berlaku apabila mangsa memandu kereta Proton Wira Aeroback dalam perjalanan dari Triang, Bera, menuju ke bandar ini

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu bertembung treler dipandu lelaki dikenali sebagai Ramomurthy Naravanasamy,50.

“Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu sebelum orang ramai menyaksikan kejadian segera menghulurkan bantuan dengan menghubungi ambulans,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Triang turut dikerahkan ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), di sini, untuk dibedah siasat.

“Mangsa meninggal di tempat kejadian manakala, pemandu serta kelindan treler tidak cedera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 5:06 AM