SET desktop berwarna putih menjadi pilihan paling popular dalam kalangan pengguna.
SET desktop berwarna putih menjadi pilihan paling popular dalam kalangan pengguna.
Muhammad Saufi Hassan


SUDAH menjadi satu trend pemilik desktop permainan pada hari ini untuk memiliki tema yang seragam daripada aspek jenama perkakas yang digunakan sehingga kepada warna.

Warna yang paling popular dalam kalangan pembina desktop permainan adalah putih memandangkan ia tampak elegan dengan penyeragaman lampu RGB.

Untuk itu, jenama kelas permainan terkemuka MSI memperkenalkan set desktop kelas permainan berwarna putih dengan padanan perkakas termaju yang berada di pasaran.

Bagi padanan papan induk, pengguna boleh memilih empat variasi papan induk dengan sokongan cip pemproses AMD mahupun Intel bermula daripada siri MSI MAG B550M Mortar WiFi, MAG B660M Mortar WiFi, MAG B660M Mortar WiFi DDR4 dan kelas premium untuk Intel adalah MPG Z690 Force WiFi.

Keempat-empat papan induk berkenaan turut menggunakan warna utama berwarna putih serta menyokong penyeragaman RGB untuk kemudahan pengguna.

Sistem penyejuk pula, pengguna boleh memilih MAG CoreLiquid 240R V2 yang dilengkapi dengan pam induk berwarna putih di samping logo naga sinonim dengan jenama MSI.

Unit bekalan kuasa (PSU) pula daripada siri MPG A750GF manakala untuk kerangka berwarna putih adalah daripada siri MPG Gungnir 110R, malah tema berkenaan turut merangkumi skrin paparan yang menggunakan warna sama.

Untuk sokongan perkakas lain, MSI turut menawarkan papan kekunci serta tetikus berwarna putih, sekali gus memberi kemasan elegan kepada pengguna.

MSI memberi penawaran papan kekunci Vigor GK30 bersama tetikus Clutch GM11 bersama alat kawalan Force GC30 V2 dan semua perkakas berkenaan adalah berwarna putih mengikut tema pilihan.

Memberi perspektif lengkap dalam tema putih, pengguna boleh memilih lima skrin paparan iaitu Modern MD241PW, Modern MD271PW, Modern MD271QPW, Modern MD271CPW dan Prestige PS341WU yang semuanya berwarna putih.

Boleh dikatakan bahawa ini adalah set lengkap berwarna putih pertama keluaran MSI dan jenama kelas permainan premium itu komited untuk memberi penawaran lebih banyak kepada pengguna.

PENGGUNA boleh memilih set berwarna putih menerusi semua perkakas termasuk ‘peripherals’ serta alat kawalan.
PENGGUNA boleh memilih set berwarna putih menerusi semua perkakas termasuk ‘peripherals’ serta alat kawalan.

Tidak dapat dinafikan bahawa tema berkenaan tidak memberi sebarang perubahan dalam aspek prestasi, namun bagi sesiapa yang mementingkan nilai kosmetik, set putih keluaran MSI ini berada pada kelas yang tersendiri.

Untuk padanan kad grafik pula, pengguna boleh melakukan pemilihan terhadap variasi Suprim X yang banyak menggunakan warna 'Chrome' bersama penyeragaman lampu mengikut keadaan.

MSI antara jenama pengeluar perkakas komputer kelas permainan yang menawarkan skim pemilihan warna putih secara lengkap bermula daripada sokongan perkakas sehingga kepada skrin paparan dan desktop.

Kebiasaan pengeluar hanya memberi sokongan kepada penetapan warna putih untuk kerangka dan perkakas desktop tanpa merangkumi perkakas sokongan seperti papan kekunci serta tetikus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 6:30 AM