KAMAL EFFENDI setia menemani isteri ketika rawatan kanser.
KAMAL EFFENDI setia menemani isteri ketika rawatan kanser.
KENANGAN ketika Dr Nik Idzni menggenggam ijazah.
KENANGAN ketika Dr Nik Idzni menggenggam ijazah.
KAMAL EFFENDI  (tengah) ketika forum.
KAMAL EFFENDI (tengah) ketika forum.
Mohamad Saidy Ismail

JARANG mendengar ada lelaki sanggup mengahwini wanita yang kurang sempurna apatah lagi menghidap kanser tahap empat, namun perkara itu sedikit pun tidak menghalang guru Bahasa Inggeris ini memilih wanita seperti itu sebagai suri hatinya.

“Saya kahwini isteri kerana ingin membahagiakan dan berbuat baik kepadanya. Saya jatuh cinta kerana keberaniannya. Walaupun sakit, dia masih meneruskan pembelajaran dalam bidang perubatan di London seorang diri, jauh dari keluarga.

“Selepas berkahwin, saya menyorong kerusi rodanya ke hospital dan melakukan semua urusan rumah kerana percaya dia akan melakukan perkara sama, jika saya sakit.

“Saya memilih cinta kepada isteri dan ibu bapa dengan sepenuh hati. Saya tidak rugi apa-apa dengan memberi cinta itu,” luah Ahmad Kamal Effendi Kamarudin dalam forum ‘Tunnel of Love - Bukan Cinta Biasa’ di Auditorium Utama, Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS), Cyberjaya.

Forum itu menyaksikan dua ikon popular media sosial dan penulis blog, Kamal Effendi dan Mat Lutfi berkongsi pendapat mengenai persoalan cinta dan perkahwinan.

Ia majlis pertama Kamal Effendi muncul di pentas umum selepas kematian isterinya pada 27 Disember tahun lalu, yang juga jatuh pada hari ulang tahun pertama perkahwinan mereka.

“Saya beri 100 peratus untuk isteri. Saya hormat wanita, isteri dan ibu. Saya berpandangan isteri dan wanita memiliki cinta yang sejati. Jadi cintai adik, kakak, isteri dan ibu bapa anda.

“Saya tidak tahu apa perasaan orang bercinta kerana isteri saya adalah wanita pertama saya cintai. Tetapi alhamdulillah, saya bahagia”, katanya.

Kisah keunggulan cinta Kamal Effendi, 27, dan isterinya, Dr Nik Idzni Dalila Nik Mahmud, 26, menjadi sebutan dan inspirasi ramai peminat blog sejak akhir 2015 apabila Kamal mengambil keputusan mengahwini Dr Nik Idzni walaupun doktor yang merawat wanita itu menjangkakannya meninggal pada bila-bila masa.

Ditanya moderator forum mengenai persoalan keikhlasan dalam cinta, Kamal berkata, ia adalah pengalaman dan cerita peribadinya, bukan daripada buku. Mereka berkenalan di Instagram kemudian Dr Nik Idzni menyatakan hasrat hatinya terhadap Kamal Effendi.

“Kami bertemu ketika dia pulang bercuti sekejap di Malaysia. Dalam masa dua minggu saya perlu membuat keputusan. Sebelum mengambil keputusan iaitu sehari sebelum dia muncul di stesen TV untuk berkongsi kisahnya menghadapi kanser, isteri saya menceritakan keadaan dirinya yang sakit.

“Saya bersetuju mengahwininya dan keluarga turut menyokong. Selepas berkahwin, isteri saya bertanya, ‘Mengapa awak menerima saya?’ Saya katakan padanya yang saya mahu membahagiakan dan berbuat baik kepadanya,” katanya.

Dr Nik Idzni disahkan menghidap kanser karsinoma sel renal iaitu kanser buah pinggang pada 2012 ketika menuntut di tahun dua bidang perubatan di University Queen Mary, London.

Seorang doktor yang merawatnya bertanya, adakah Dr Nik Idzni mahu terus belajar walaupun tahu tidak dapat menghabiskannya, sebaliknya mencadangkan supaya dia menghabiskan masa bersama keluarga.

Namun, Dr Nik Idzni tidak mahu membuang masa atau tidak berbuat apa-apa. Dia berazam menamatkan pengajian dan menjadi doktor, cita-citanya sejak kecil. Dengan izin Allah, wanita itu lulus peperiksaan tahun akhir dan menjalani latihan doktor pelatih di United Kingdom sambil meneruskan rawatan. Ketika di sana, Kamal Effendi menziarahinya tiga kali.

Wanita itu kembali ke Malaysia dan keadaan penyakitnya semakin kritikal. Kamal Effendi meneruskan bukti cintanya dengan menemani Dr Nik Idzni menjalani rawatan hingga menghembus nafas terakhir pada 27 Disember lalu di Kajang.

“Saya tidak menyangka dia pergi secepat itu. Saya sentiasa berdoa mengharapkan isteri kembali sembuh. Tetapi Allah menentukan segalanya. Saya mengharapkan hikmah daripada Allah dan syurga-Nya. Saya yakin apa yang kita beri, kita akan dapat kembali,” katanya.

Kepada penonton forum yang banyak bertanya mengenai tip cinta dan memilih pasangan hidup, Kamal Effendi berpesan, selepas membuat pilihan, kita mesti hadapi setiap ujian dengan positif kerana setiap pilihan datang bersama ujian.

Tidak ada pilihan yang sempurna. Malah, isterinya sendiri amat positif terhadap pilihannya dan itu yang memberikan dia kekuatan.

Forum Tunnel of Love - Bukan Cinta Biasa adalah antara aktiviti mengumpul dana anjuran Twenties for Smileys (TFS), penganjur program misi kemanusiaan peringkat antarabangsa dalam kalangan penuntut CUCMS. Mereka kini giat mengumpul dana untuk menjayakan projek PEACE Nepal 2017 - Post Earthquake Community Embrace Nepal 2017.

* Penulis adalah Profesor Madya di CUCMS dan Penasihat Twenties for Smileys, PEACE Nepal 2017, CUCMS dan Laos International Family Endeavor 2016

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2017 @ 7:29 AM