POSTER mempromosi  buku ‘Spare’ yang ditulis Putera Harry. FOTO AFP
POSTER mempromosi buku ‘Spare’ yang ditulis Putera Harry. FOTO AFP
AFP

London: Putera Harry bersedia berkongsi skandal dihadapinya seperti yang didedahkan dalam buku Spare, dalam satu temubual khas televisyen, malam ini.

ITV Britain dijadualkan menyiarkan rancangannya Harry: The Interview kira-kira 9 malam ini, selama 95 minit.

Kesediaan Harry itu selepas kontroversi timbul susulan pendedahan sebuah buku yang ditulisnya mengenai keretakan diraja, seks dan dadah.

Kandungan Spare terdedah secara meluas selepas ia pada mulanya tersilap dijual di Sepanyol menjelang tarikh penerbitan rasmi, pada Selasa.

Perincian termasuk dakwaan abangnya Putera William menyerangnya ketika pertengkaran mengenai isterinya Meghan; kisah bagaimana dia kehilangan teruna, penggunaan dadah serta dakwaan dia membunuh 25 orang semasa berkhidmat di Afghanistan.

Kandungan itu membangkitkan kritikan dan cemuhan manakala pihak istana belum memberikan sebarang kenyataan balas.

Semua saluran mengeluarkan klip yang mana Putera Harry bercakap mengenai hubungannya yang retak dengan Putera William dan menuduh keluarganya menjaja cerita negatif mengenainya dan Meghan di media.

Saluran AS CBS kemudiannya dijadual menyiarkan wawancara bersama beliau dalam rancangan 60 Minutes pada 7.30 malam, esok.

Satu lagi rangkaian AS, ABC, akan menyiarkan wawancaranya esok.

Harry menyifatkan William sebagai abang tersayang, pada masa sama musuh ketatnya, kata penyampai ABC Michael Strahan dalam petikan wawancara itu.

"Selalu ada persaingan antara kami, pelik," kata Harry kepada saluran AS.

Temubual itu dirakam sebelum kandungan buku Harry dibocorkan secara meluas Khamis lalu, menyebabkan pelbagai reaksi daripada media, pengulas diraja, veteran tentera dan Taliban.

Akhbar British mengecam dakwaan Harry membunuh 25 orang semasa berkhidmat dalam tentera di Afghanistan, selepas veteran mengkritik kenyataan itu sebagai berisiko dan tidak wajar.

Malah Taliban mengecam Harry kerana mengatakan pembunuhan itu terasa seperti memindahkan catur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 12:34 PM