PENUNTUT universiti menghadiri pameran pekerjaan di Wuhan. FOTO AFP/ China OUT
PENUNTUT universiti menghadiri pameran pekerjaan di Wuhan. FOTO AFP/ China OUT
Agensi

Beijing: Iklan pekerjaan sebuah premis peruncit di China, yang mencari juruwang berumur 18 hingga 30 tahun mencetuskan reaksi sedih pencari kerja dalam kalangan orang lebih berusia di media sosial.

The Straits Times melaporkan, ramai orang tua yang berebut-rebut mencari pekerjaan dalam keadaan ekonomi yang lembap.

Ada yang berkata, iklan itu menonjolkan nasib sebilangan besar penduduk pertengahan umur apabila kerajaan memberi tumpuan untuk memerangi pengangguran belia yang tinggi.

"Keadaan sekarang tidak mudah," seorang individu di bandar Ningbo, di wilayah timur Zhejiang, menyiarkan di platform media sosial Weibo.

Pengguna menyiarkan gambar iklan mencari juruwang, mendorong lebih daripada 140 juta tontonan dan 41,000 komen, kebanyakannya beremosi.

"Adakah anda fikir mudah untuk mencari pekerjaan sekarang?" tulis netizen itu di Weibo.

"Saya berusia 33 tahun tahun ini dan sudah mencari pekerjaan selama tiga tahun," kata pengguna Weibo yang lain.

Tiada undang-undang khusus terhadap diskriminasi umur, walaupun media kerajaan pada tahun 2023 mengkritik majikan kerana amalan pengambilan pekerja yang 'diskriminatif', termasuk mencari pekerja yang lebih muda dan lebih murah.

"Saya 29 (tahun). Saya sudah tiga kali diberhentikan kerja sejak tamat pengajian. Sekarang, tiada siapa yang membalas resume saya walaupun saya (menulis) saya belum berkahwin dan tidak mempunyai anak," tulis seorang pengulas lain di Weibo.

"Adakah sukar untuk mencari pekerjaan apabila anda berumur lebih dari 35 tahun sebelum ini?" seorang lagi pengguna Weibo bertanya, dengan ikon emoji yang disertakan mewakili kepahitan.

"Pada masa sama, umur persaraan terpaksa dianjakkan lagi. Jadi apa yang anda akan lakukan di antaranya?" pengguna lain menambah.

China merancang untuk meningkatkan umur persaraan secara berperingkat-peringkat apabila populasi meningkat, media kerajaan melaporkan, walaupun tiada rancangan khusus mengenainya diumumkan.

Umur persaraan pada masa ini adalah pada 60 tahun untuk lelaki, dan lebih muda untuk wanita, yang mungkin bersara pada 55 jika pekerja kolar putih dan pada usia 50 tahun, jika bekerja di kilang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 1:09 PM