JOE Biden. FOTO Reuters
JOE Biden. FOTO Reuters
Agensi

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan isterinya, Jill Biden mengucapkan Ramadan Kareem kepada semua umat Islam seluruh dunia.

"Hari ini, saya dan Jill menyampaikan ucapan selamat kepada masyarakat Islam di seluruh negara dan dunia ketika mereka memulakan bulan suci Ramadan, masa berpuasa, pembaharuan, amal, ibadah dan pertumbuhan," kata Biden dalam satu kenyataan.

Agensi Anadolu melaporkan, beliau berkata, AS menegaskan semula sokongannya kepada masyarakat Islam yang mengalami kesusahan dan kemusnahan.

"Kami akan terus berdiri bersama rakyat Turkiye dan Syria yang kehilangan ramai orang tersayang semasa gempa bumi yang dahsyat baru-baru ini dan bersama rakyat Pakistan, yang sedang membina semula kehidupan mereka selepas banjir musim panas lalu.

"Hari ini terutamanya, kami mengingati hak asasi manusia sejagat untuk mengamalkan, berdoa dan berdakwah mengenai kepercayaan kami secara aman dan terbuka. Dan bersama-sama rakan kongsi kami, Amerika Syarikat berdiri dalam solidariti dengan umat Islam yang terus menghadapi penindasan termasuk Uyghur di Republik Rakyat China, Rohingya di Burma (Myanmar) dan masyarakat Islam lain yang menghadapi penganiayaan di seluruh dunia," katanya.

"Kepada rakan-rakan Amerika saya yang menyambut Ramadan, dan kepada umat Islam di seluruh dunia: Ramadan Kareem kami mengucapkan selamat menyambut Ramadan yang diberkati dan damai," kata Biden.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 10:48 AM