FOTO fail menunjukkan perhimpunan bagi memperingati kematian Floyd di Minneapolis, Minnesota. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan perhimpunan bagi memperingati kematian Floyd di Minneapolis, Minnesota. FOTO AFP
AFP

Minneapolis: Pegawai polis Minneapolis, Derek Chauvin yang sebelum ini didapati bersalah membunuh George Floyd dihukum penjara 20 tahun lagi oleh Mahkamah persekutuan, pada Khamis.

Hukuman kali ini selepas Chauvin mengaku bersalah di mahkamah persekutuan pada Disember tahun lalu atas kesalahan melanggar hak sivil Floyd, 46, lelaki kulit hitam yang didakwa menggunakan wang palsu untuk membeli rokok.

Lelaki kulit putih itu kini sedang menjalani hukuman penjara 22 tahun dan enam bulan selepas didapati bersalah di mahkamah negeri kerana membunuh Floyd.

Tindakannya itu mencetuskan protes terhadap ketidakadilan kaum dan kekejaman polis di seluruh Amerika Syarikat.

Hukuman mahkamah negeri dan persekutuan akan dijalankan serentak tetapi Chauvin yang berusia 46 tahun akan dibenarkan menjalani hukuman di penjara persekutuan dan bukannya di penjara negeri Minnesota, lokasi dia ditahan bersendirian dalam kurungan.

Pada 25 Mei 2020, Floyd meninggal dunia selepas lehernya ditekan dengan lutut oleh seorang polis selama hampir sembilan minit.

Rakaman insiden itu mencetuskan gelombang tunjuk perasaan Black Lives Matter atas apa yang disifatkan kekejaman polis dan ketidakadilan kaum.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 9:44 AM