FOTO tular di media sosial menunjukkan sambutan ulang tahun Jeneral Debold Sinas.
FOTO tular di media sosial menunjukkan sambutan ulang tahun Jeneral Debold Sinas.
Agensi

Manila: Penguatkuasaan undang-undang tidak mengenal sesiapa. Itu berlaku di Filipina apabila seorang Ketua Polis Wilayah Metro Manila bakal dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan melanggar perintah berkurung dengan menyambut ulang tahun kelahiran ke-55.

Mejar Jeneral Debold Sinas mengatakan beliau menunggu hasil siasatan dan tidak bercuti kecuali diarahkan Presiden Filipina Duterte atau Ketua Polis Negara Jeneral Archie Gamboa.

Portal The Straits Times melaporkan gambar sambutan pada 8 Mei itu menunjukkan hampir 50 anggota polis berkumpul untuk meraikan mananita atau pesta ulang tahun secara tradisi khas untuk pegawai kanan polis sempena ulang tahun kelahiran di ibu pejabat polis daerah di Taguig.

Pesta itu mendapat teguran orang awam atas layanan double standard apabila rakyat diperintah berkurung di rumah, manakala pihak berkuasa boleh membuat sambutan ulang tahun kelahiran.

"Kertas siasatan jenayah disiapkan terhadap Sinas bersama pegawai kanan polis lain yang hadir majlis itu," kata jurucakap presiden, Harry Roque.

Tuduhan jenayah itu perlu mendapat kebenaran Pejabat Presiden kerana pegawai polis dengan pangkat jeneral adalah lantikan Presiden negara itu.

Ketua Polis Perhubungan Siasatan Dalaman, Alfegar Triambulo memberitahu gambar sambutan mananita pada 8 Mei itu menunjukkan pelanggaran akta dengan mengadakan perhimpunan besar-besaran, tidak memakai pelitup muka dan penjarakan sosial.

Peraturan kuarantin di negara itu dimaksudkan untuk mencegah penyebaran Covid-19 virus yang menjangkiti lebih 11,000 mangsa dengan 790 kematian di negara itu.

"Sekeping gambar menunjukkan segala-galanya," katanya.

Beberapa gambar menunjukkan sejumlah besar polis berkumpul di sekitar meja bufet dan meja bulat bersama Jeneral Sinas dan pegawai polis lain tidak memakai pelitup muka dan duduk dalam jarak dekat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 8:51 AM