GAMBAR fail menunjukkan bangunan mahkamah di mana kejadian berlaku. - Daily Mail
GAMBAR fail menunjukkan bangunan mahkamah di mana kejadian berlaku. - Daily Mail
Agensi

Moscow: Tiga anggota kumpulan perompak kejam yang dipercayai mengakibatkan kematian puluhan pemandu di Moscow maut ditembak apabila cuba merampas senjata api anggota keselamatan dan mengambil tebusan sebelum perbicaraan mereka bermula di mahkamah semalam.

RIA Novosti memetik peguam, Sofya Rubasskaya berkata, dia mendengar sekurang-kurangnya 20 tembakan sebelum melihat seorang pengawal dan pegawai mahkamah wanita rebah ditembak.

Kementerian kesihatan Russia berkata, seorang lelaki berusia 45 tahun dan wanita berusia 40 tahun dibawa ke hospital dengan kecederaan akibat ditembak.

Sementara itu, agensi berita TASS berkata, beberapa tertuduh yang sedang diiring ke bilik mahkamah cuba merampas senjata api pengawal mereka untuk mengambil tebusan.

Jurucakap Mahkamah Daerah Moscow, Natalia Osipova berkata, kejadian berkenaan berlaku ketika perbicaraan sembilan anggota kumpulan perompak itu - digelar geng Grand Theft Auto - semalam menyebabkan bangunan mahkamah dikosongkan sebagai langkah keselamatan.

Menurut pendakwa, modus operandi geng berkenaan adalah untuk meletakkan paku di atas jalan yang memaksa pemandu kenderaan keluar apabila kereta mereka mengalami kerosakan.

Geng berkenaan kemudian menembak pemandu terbabit sebelum melarikan kereta mangsa.

Sembilan lelaki yang menganggotai geng berkenaan - semuanya dari negara Asia Tengah - didakwa atas 17 tuduhan bunuh dan dua cubaan bunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 9:10 AM