ETNIK Uighur sudah lama menjadi mangsa penindasan kerajaan komunis China.
ETNIK Uighur sudah lama menjadi mangsa penindasan kerajaan komunis China.
Agensi

PADA April 2017, Tarim seorang ahli perniagaan berusia 48 tahun dari Urumqi, ibu kota wilayah Xinjiang, China yang majoriti penduduknya beragama Islam menerima satu panggilan telefon yang mengarahkannya ke daerah Aksu yang terletak 900 kilometer dari barat daya bandar itu.

Tarim terus tahu dia berdepan masalah dan terus merancang untuk melarikan diri. Merahsiakan semua itu, Tarim mempunyai masa selama beberapa jam untuk melaksanakan rancangannya.

Dua hari sebelum itu, Tarim pergi ke Aksu berusaha untuk menyelamatkan adik perempuannya, Zohra yang dihantar ke kem ‘pendidikan semula’ selepas melancong ke Turki bersamanya pada 2016.

Tarim membayar 20,000 yuan (RM12,000) kepada pegawai untuk membenarkan dia bertemu adiknya. Dia sebenarnya mahu menggunakan wang itu untuk membebaskan adiknya tetapi pegawai berkenaan memberitahu ia adalah mustahil.

Tarim dalam satu wawancara dengan Al Jazeera memberitahu, dia semakin bertekad untuk meninggalkan Xinjiang selepas melihat keadaan di dalam kem itu.

Pendedahan Tarim mengenai apa yang berlaku terhadap etnik Uighur di Xinjiang dan wawancara dengan dua wanita di Istanbul didapati selari dengan laporan terbaru Pemantau Hak Asasi Manusia (HRW).

Laporan HRW itu menuduh China menjalankan kempen besar-besaran dan sistematik yang melanggar hak asasi manusia terhadap etnik minoriti yang berbahasa Turki berkenaan.

TARIM kini menetap di Turki bersama keluarganya yang terlebih dahulu melarikan diri dari China. - Al Jazeera
TARIM kini menetap di Turki bersama keluarganya yang terlebih dahulu melarikan diri dari China. - Al Jazeera

Adik Tarim ditahan bersama lebih 3,000 lagi di sebuah kem berhampiran pangkalan tentera yang terletak di Xayar, utara Aksu.

Kem itu mempunyai pagar kawat setinggi lima meter yang menghalang pandangan orang ramai dan di luarnya terdapat papan tanda dengan slogan “Tiada Komunis, Tiada China,”.

Tarim melalui dua pintu pagar untuk tiba di pintu masuk utama yang dikawal pengawal bersenjata dan askar lengkap dengan kenderaan perisai.

Ketika menunggu adiknya, Tarim melihat sekumpulan 500 orang yang bercangkung di tanah. Mereka kelihatan baru tiba dan memakai baju warna biru. Rambut kaum lelaki semuanya botak.

Tarim, mengenali sebahagian mereka adalah penduduk kampungnya di Aksu.

Selepas menunggu hampir sejam, Tarim akhirnya dapat bertemu Zohra tetapi mereka hanya dapat berbual untuk waktu yang singkat.

Tarim mendapati adiknya sudah kelihatan lain dan wajahnya pucat. Bintik hitam kelihatan di sekeliling mata wanita berusia 39 tahun itu yang turut merah akibat menangis.

Zohra memberitahu dia perlu menamatkan beberapa ‘pelajaran’ dan perlu menjalani ujian selepas itu. Sekiranya lulus, dia akan dilepaskan.

Selepas bertemu selama 10 minit, Tarim diarahkan keluar dari bangunan itu.

Usaha Tarim untuk membebaskan Zohra mungkin dihidu pihak berkuasa. Dua hari kemudian dia menerima panggilan dari polis.

Pada hari yang sama, Tarim muncul di Lapangan Antarabangsa Diwopu di Urumqi untuk pergi ke Aksu seperti yang diarahkan polis.

ANGGOTA polis dilihat berkawal di sebuah bandar di Xinjiang.
ANGGOTA polis dilihat berkawal di sebuah bandar di Xinjiang.

Dengan membawa beg kecil dan tiket penerbangan, dia mendaftar masuk ke penerbangan domestik yang dijadualkan berlepas pada jam 9.55 pagi.

Sebagai bukti Tarim mengambil gambar pas pelepasan dan menghantar kepada pegawai polis yang menunggu dia tiba di Aksu.

Bagi Tarim, Xinjiang adalah rumahnya dan dia tidak pernah terfikir untuk meninggalkan kampung halaman serta perniagaan­nya yang menjadikan dirinya kaya raya.

Bagaimanapun, Tarim perlu bertindak cepat apabila dia mendapat peluang untuk meloloskan diri.

Ketika menunggu di lapangan terbang, Tarim menghubungi pejabatnya di Urumqi dan meminta pekerjanya menempah tiket ke Turkey.

Pesawat ke Istanbul akan berlepas pada jam 10.40 pagi melalui Astana, ibu negara Kazakhstan yang berjiran dengan wilayah itu.

Tarim tidak menaiki penerbangan ke Aksu, sebaliknya dia pergi ke pintu berlainan untuk menaiki pesawat yang menuju ke Istanbul. Antara penerbangan ke Aksu dan masa menaiki penerbangan ke Astana, Tarim hanya mempunyai tempoh masa selama beberapa minit sahaja.

SERAMAI lapan juta penduduk Uighur yang beragama Islam dan berbahasa Turki tinggal di Xinjiang.
SERAMAI lapan juta penduduk Uighur yang beragama Islam dan berbahasa Turki tinggal di Xinjiang.

Sementara menunggu pesawatnya berlepas, Tarim menggigil ketakutan kerana bimbang ditangkap.

“Saya tidak percaya saya mampu lakukannya. Saya sangat bimbang,” katanya.

Kisah Tarim itu menguatkan lagi laporan terbaru HRW yang mendakwa seramai sejuta etnik Uighur ditahan di dalam kem seperti itu di seluruh wilayah barat China itu.

Ia turut mengesahkan penemuan terbaru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang secara terperinci mengenai program pengawasan besar-besaran dan menyekat kebebasan yang disasarkan terhadap etnik Uighur serta minoriti Islam lain.

Dalam laporan berkenaan, HRW menemubual 58 bekas penduduk Xinjiang termasuk lima yang pernah ditahan di kem. Al Jazeera pula menemuramah Tarim dan dua lagi wanita Uighur secara berasingan.

Bagaimanapun, China menolak laporan terbaru PBB itu dan berkata, langkah tegas yang diambil di Xinjiang adalah bertujuan menyekat fahaman pengganas dan pelampau.

GAMBAR yang disiarkan kerajaan China pada 2017 menunjukkan sebahagian tahanan Uighur di sebuah kem di wilayah Hotan. - Agensi
GAMBAR yang disiarkan kerajaan China pada 2017 menunjukkan sebahagian tahanan Uighur di sebuah kem di wilayah Hotan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 3:14 PM