Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. - FOTO NSTP
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. - FOTO NSTP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Selangor bertekad menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelaburan utama di Asia Tenggara dan bukan hanya destinasi pelaburan utama di Malaysia.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerjasama Kerajaan Perpaduan yang ikhlas sudah mula terbukti dengan mengangkat potensi ekonomi negeri dan negara ke arah meningkatkan kualiti hidup rakyat.

"Memasuki penggal kedua di Selangor, saya sudah menekankan kepada seluruh pasukan saya bahawa keutamaan penggal ini adalah melaksanakan segala perancangan yang disusunatur pada penggal lalu.

"Keutamaan di Selangor adalah untuk menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelaburan utama bukan sekadar di Malaysia, sebaliknya destinasi pelaburan utama di Asia Tenggara.

"Selangor akan memberi fokus kepada industri baharu seperti kecerdasan buatan (AI) yang mengoptimumkan industri pembuatan terutamanya yang beralih kepada automasi, industri pembuatan dron di Selangor, serta industri berteknologi tinggi seperti digitalisasi dan cip mikro," katanya dalam perutusan Tahun Baru Cina hari ini.

Amirudin berkata tahun ini juga beliau membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama.

"Ini akan memberi penekanan agar kualiti perkhidmatan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat terus diperbaiki bagi keselesaan rakyat.

"Selangor akan memberikan penekanan bukan sahaja kepada pembangunan infrastruktur baharu tetapi meningkatkan kualiti penyelenggaraan infrastruktur yang telahpun dibina," katanya.

Pada masa sama Amirudin berkata, komitmen kerajaan negeri membantu kanak-kanak terus diperkukuhkan dengan meningkatkan jumlah pelajar yang bakal menerima tuisyen rakyat secara percuma bagi manfaat lebih 100,000 anak Selangor.

"Kerajaan Negeri juga sudah meningkatkan baucar Jom Shopping Perayaan daripada RM100 kepada RM200 bagi keluarga di Selangor.

"Seramai 82,400 penerima dijangka menerima manfaat sempena perayaan-perayaan utama tahun ini, iaitu Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, dan Tahun Baharu Cina," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 5:29 PM