GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lebih 12,000 mahasiswa Universiti Malaya (UM) menikmati manfaat RM300 tunai menerusi inisiatif #DIY4UM untuk pembelian keperluan harian dan peralatan pembelajaran.

Bantuan itu diagihkan menerusi tiga pembayaran sama rata melalui e-dompet Touch 'n Go' sepanjang November dan Disember tahun lalu.

Selain sumbangan itu, 11,000 penuntut terawal yang menggunakan dana berkenaan layak mendapat pulangan tunai RM10 apabila mereka berbelanja minimum RM20 menggunakan e-dompet Touch 'n Go di cawangan kumpulan kedai MR DIY, laman dalam talian MR DIY atau program mini MR DIY yang tersedia menerusi aplikasi Touch 'n Go eWallet.

Inisiatif kerjasama bersama antara MR DIY Group (M) Berhad (MR DIY), Touch 'n Go Group (Touch 'n Go) dan UM ini, menyaksikan peruncit pembaikan rumah terbesar di Malaysia mengagihkan lebih RM3.6 juta untuk membantu mahasiswa bersiap sedia untuk pulang ke kampus.

Ketua Pegawai Eksekutif MR DIY Adrian Ong berkata, kumpulan itu menyedari penuntut universiti antara golongan yang teruk terkesan dengan bencana banjir.

"Kami menyedari, ketika penuntut mula kembali ke kampus selepas pandemik, ramai yang memerlukan bantuan untuk memastikan mereka dilengkapi dengan keperluan harian, bahan pembelajaran dan barangan pelindung diri. Untuk melancarkan urusan penuntut kembali ke kampus, kami memutuskan untuk melancarkan inisiatif #DIY4UM.

"Inisiatif kami ini disokong oleh Touch 'n Go, yang membantu menguruskan pengagihan bantuan melalui platform e-dompet Touch 'n 'Go.

"Ucapan terima kasih dan penghargaan kami tujukan kepada pasukan Touch 'n Go, diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Touch 'n Go Group Effendy Shahul Hamid, kerana bekerja tanpa jemu bersama pasukan kami untuk menjadikan proses pengagihan bantuan tunai ini berjalan lancar dan berkesan," katanya.

Sementara itu, Effendy Shahul berkata, mereka amat berbesar hati terbabit dalam program itu dan berharap ia dapat memotivasikan penuntut UM untuk berusaha ke tahap yang lebih tinggi dalam pencapaian akademik mereka.

Naib Canselor UM Prof Datuk Dr Mohd Hamdi Abd Syukor pula mengucapkan terima kasih kepada MR DIY atas sumbangan ikhlas yang membolehkan pelajar membeli barangan keperluan mereka perlukan sebelum memulakan semester baharu.

"RM300 mungkin sedikit bagi sesetengah orang, tetapi buat 12,000 mahasiswa kami, ia amat dihargai. Bantuan itu sangat bermakna dengan Touch 'n Go' menjadikan proses tuntutan penuntut kami lebih lancar dan dengan promosi tambahan. Sekali lagi, terima kasih MR DIY dan Touch 'n Go," katanya.

Dalam pada itu, wakil pelajar UM, Wan Afiq Ikhwan Wan Alias berkata, bagi sesetengah penuntut, persediaan memasuki semester baharu agak mencabar, namun melalui bantuan inisiatif #DIY4UM ini, ia tepat pada masanya sekali gus dapat meringankan beban mereka.

"Kami bersyukur atas bantuan yang diberikan oleh MR DIY kerana ia membantu penuntut membeli keperluan pendidikan kami. Stres sudah pun hilang dan kini tiba masanya untuk kami fokus kepada pelajaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 1:19 PM