Pengendali Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Mariano Echeverria. FOTO JST
Pengendali Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Mariano Echeverria. FOTO JST
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Mariano Echeverria tidak menyalahkan pemain pertahanan, Aysar Hadi kerana kesilapannya yang menyebabkan skuad Harimau Selatan berputih mata apabila tumbang 1-0 di tangan Terenggan FC II (TFC II).

Pada aksi final Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi, kesilapan Aysar yang gagal menahan bola di depan kotak penalti menyebabkan JDT II terpaksa pulang hampa.

Ia susulan tindakan pantas penyerang TFC II, Muhammad Isa Raman yang pantas menyambar dengan melepaskan satu rembatan tepat di hujung permainan sekali gus menghadiahkan kejuaraan buat skuad Penyu.

"Persembahan yang ditunjukkan pemain sepanjang kejohanan adalah baik dan kita dapat lihat beberapa pemain menyinar.

"Sudah tentu kami mahu memenangi perlawanan akhir, malangnya impian itu tidak menjadi kenyataan," katanya pada sidang media selepas aksi final itu.

Ujar Echeverria lagi, beliau bagaimanapun berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pemain sepanjang saingan Piala MFL musim ini dengan beberapa pemain berjaya menunjukkan bakat dan kualiti yang dimiliki.

"Final ini saya lihat jadi lebih sukar kerana Terengganu menggunakan pemain yang sama namun pasukan kami bertukar-tukar, jadi ia sukar.

"Akan tetapi pasukan ini telah bekerja keras, mereka berlatih dan saya gembira akhirnya sampai hingga di pentas final," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 2:25 PM