Pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer (tengah) memerhatikan aksi pemainnya. FOTO AFP
Pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer (tengah) memerhatikan aksi pemainnya. FOTO AFP
AFP

Manchester, United Kingdom: Ole Gunnar Solskjaer berkata kekalahan 5-0 Manchester United di laman sendiri kepada Liverpool adalah detik mengecewakan sepanjang hampir tiga tahun sebagai pengendali Red Devils.

United ketinggalan 4-0 pada babak pertama buat pertama kali dalam sejarah Liga Perdana ketika Mohamed Salah meledak dua gol selepas Naby Keita dan Diogo Jota menjaringkan gol pembukaan dalam tempoh 15 minit permainan.

Salah melengkapkan hatrik beberapa minit selepas rehat perlawanan ketika Liverpool menang dengan perbezaan lima gol buat pertama kali di gelanggang lawan berdepan seteru tradisi mereka.

"Ia tidak mudah untuk diperkatakan mengenai sesuatu daripada hari yang malang ketika saya memimpin pasukan ini," kata Solskjaer kepada Sky Sports.

"Kami tidak begitu baik dari segi individu dan sebagai satu pasukan. Aksi keseluruhan tidak begitu bagus."

Anak buah Solskjaer hanya memperoleh satu mata daripada lima perlawanan terakhir mereka dalam saingan Liga Perdana dan ketinggalan lapan mata daripada pendahulu Chelsea.

United tumbang 1-6 kepada Tottenham di laman sendiri tanpa kehadiran penonton musim lalu namun berjaya menamatkan saingan Liga Perdana di tempat kedua.

Bagaimanapun, Solskjaer berkata kekalahan itu memberi kerosakan besar dalam konteks persaingan antara kelab.

"Anda boleh lihat pada musim lepas kami tewas 6-1 kepada Spurs ini adalah teruk, paling teruk," katanya.

"Ini lebih teruk bagi saya sebagai pengendali Manchester. Saya hanya mahu memberitahu kami harus melupakan perkara ini secepat yang kami boleh."

Solskjaer masih belum memenangi trofi sejak mengambil alih pasukan pada Disember 2018, tetapi dia mendapat pujian selepas kembali membawa kelab itu bersaing di Liga Juara-Juara sejak dua musim lalu.

Malah dia menegaskan tidak akan meletak jawatan sekalipun mendapat tekanan kuat yang mendesak dia meninggalkan jawatan itu.

Kapten United, Harry Maguire memohon maaf kepada peminat kelab itu selepas kekalahan memalukan berkenaan.

"Kami minta maaf kepada peminat, ia tidak cukup bagus dari pasukan ini," kata pertahanan England itu.

"Untuk kalah kepada Liverpool dalam mana-mana perlawanan bola sepak adalah amat mengecewakan. Cara kami kalah dalam perlawanan, ketinggalan 4-0 pada babak pertama di hadapan penonton sendiri, seperti saya katakan kami belum cukup bagus."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 7:54 AM