AHMAD Faizal pada sidang media semalam. FOTO Balqis Jazimah Zahari
AHMAD Faizal pada sidang media semalam. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan bahawa kedudukannya selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yang masih disandangnya sehingga kini bukan kerana enggan melepaskan jawatan sebaliknya atas dasar permintaan untuk meneruskan tanggungjawab itu.

Presiden PAFA, Ahmad Faizal mengulas perkara berkenaan selepas ditanya pemberita berhubung perdebatan netizen di media sosial tentang beliau yang masih memegang jawatan itu selepas meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perak.

"Saya harap penyokong jangan ingat saya berada di sini dan belum letak jawatan kerana kehendak, tetapi ini sebenarnya atas permintaan daripada Menteri Besar Perak sendiri begitu juga dengan Exco Belia dan Sukan serta beberapa rakan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan agar saya meneruskan tanggungjawab ini sekurang-kurangnya sehingga kongres tahunan yang akan diadakan pada bulan ini.

"Jadi, menghormati permintaan daripada rakan, saya masih di sini dan jangan bimbang saya tidak akan membuat keputusan besar atau membuat kontrak yang bukan-bukan hingga menyusahkan pasukan ataupun presiden kepimpinan yang akan datang," katanya pada sidang media ketika hadir Majlis Makan Malam dan Sidang Media Perak FC 2021 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak semalam.

Bagaimanapun Ahmad Faizal berkata, beliau menyedari kepentingan terhadap sesebuah persatuan bola sepak itu untuk dikemudi oleh kepimpinan tertinggi.

"Saya sedar satu perkara yang sangat penting bahawa untuk kita mengemudi sebuah Persatuan Bola Sepak negeri atau kelab bola sepak di negara ini, adalah sangat penting mempunyai satu sokongan yang kuat di dalam kerajaan samada Menteri Besar, Menteri di peringkat pusat atau seorang yang dapat menarik sokongan terutama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membantu memberi sokongan dana kepada pasukan.

"Tentunya jika saya meneruskan tanggungjawab sebagai Presiden kepada PAFA dan juga Pengerusi kepada Perak FC, ia tidak dapat memberi bantuan sepenuhnya kepada kelab dan juga Persatuan.

"Saya akur mengenai permasalahan itu dan kami sentiasa berbincang dengan Exco Belia dan Sukan dan begitu juga dengan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad untuk kita mencari jalan bagaimana untuk seseorang yang lebih sesuai dapat mengemudi Persatuan," katanya.

Justeru, beliau berharap isu berkaitan politik membabitkan dirinya tidak mempengaruhi perjalanan pembangunan persatuan bola sepak di negeri itu.

"Apa yang berlaku terhadap diri saya adalah sebab politik tetapi jangan kerana politik itu dia terjangkit ke dalam persatuan.

"Ini kerana, kita hendak melihat bukan sahaja pasukan negeri Perak tetapi satu hari pasukan bola sepak Malaysia berjaya beraksi di peringkat antarabangsa, pusingan akhir piala dunia dan sebagainya," katanya.

Tambahnya, beliau yang juga sebagai peminat sukan bola sepak sepertimana penyokong yang lain menjamin tidak akan membuat sesuatu yang akan merugikan pasukan.

"Kalau kita terlalu berpolitik dan rakan netizen (hanya) nak bercakap tentang Presiden PAFA tetapi bukan tentang kualiti bola sepak yang akan dibawa, ini akan merugikan kita semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 10:44 AM