BERNARD (dua kiri) ditenangkan Grant selepas menjaringkan gol sendiri di Nur-Sultan. — FOTO Reuters
BERNARD (dua kiri) ditenangkan Grant selepas menjaringkan gol sendiri di Nur-Sultan. — FOTO Reuters
AFP

JUARA Kazakhstan, Astana bangkit untuk mengejutkan Manchester United 2-1 pada aksi Liga Europa di Nur-Sultan, awal pagi tadi.

Kapten Jesse Lingard membuka tirai jaringan buat pelawat, yang sudah menempah tiket ke pusingan 32 terakhir dari Kumpulan L, sebelum Dmitri Shomko menyamakan kedudukan buat tuan rumah.

Di’Shon Bernard, 19, kemudian menjaringkan gol sendiri untuk membantu kemenangan Astana ke atas United yang mempunyai purata usia hanya 22 tahun.

Bos United, Ole Gunnar Solskjaer melakukan 11 perubahan daripada aksi seri dengan Sheffield United Ahad lalu apabila menghadiahkan penampilan sulung senior buat pemain remaja Ethan Laird, Dylan Levitt dan Bernard selain menamakan Max Taylor yang bebas daripada penyakit kanser di bangku simpanan.

LINGARD (tengah) menjaringkan gol pembukaan United menentang Astana. — FOTO Reuters
LINGARD (tengah) menjaringkan gol pembukaan United menentang Astana. — FOTO Reuters

“Anda perlu menurunkan (pemain muda) sebelum anda tahu sama ada mereka bagus atau sebaliknya,” kata bekas penyerang kelab itu kepada televisyen Manchester United.

“Pemain ini banyak belajar dan memberikan saya pilihan jadi saya amat berpuas hati dengan kebanyakan mereka. Saya hanya kesal mereka tidak dapat meraih kemenangan kerana saya fikir mereka berhak.”

United membuka tirai jaringan selepas 10 minit mererusi rembatan leret Lingard sebelum Shomko menyamakan kedudukan pada minit ke-55 mengatasi penjaga gol United, Lee Grant.

Tiga mata pertama Astana dalam kempen Eropah diraih apabila Bernard tertampan masuk hantaran lintang Antonio Rukavina melepasi Grant tujuh minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 7:49 AM