RUMAH tapuk dibina Khairul Nizam dan rakannya di Sungai Serting.
RUMAH tapuk dibina Khairul Nizam dan rakannya di Sungai Serting.
Abnor Hamizam Abd Manap


MENAPUK ialah cara menangkap ikan secara tradisional menggunakan peralatan seperti pukat yang dibuat sendiri dan ia antara kaedah menangkap ikan popular suatu masa dahulu dalam kalangan penduduk kampung.

Sebuah pondok atau rumah tapuk dibina di tengah sungai bagi menahan pukat untuk memerangkap ikan dan untuk membina sebuah rumah tapuk ia memerlukan kemahiran supaya binaan itu kukuh serta selamat.

Menggunakan kayu terpakai dan pokok hutan, rumah tapuk yang turut menjadi tempat bermalam akan dibina sebelum hujan lebat selain air sungai tidak tinggi berikutan tiang rumah perlu ditanam di dalam sungai.

Kecil atau besar rumah tapuk turut bergantung kepada faktor sungai di mana ia dibina.

Seorang penduduk, Khairul Nizam Hamzah, 42, dari Kampung Air Hitam, Jempol, Negeri Sembilan masih menjadikan rumah tapuk sebagai kaedah menangkap ikan untuk mencari rezeki.

Beliau turut dibantu beberapa rakan sekampung melakukan aktiviti itu sebagai antara punca rezeki tatkala tidak dapat melakukan kerja di kebun ketika musim hujan.

Katanya, pembinaan rumah tapuk perlu dibuat dengan teliti bagi memastikan tiada masalah lain yang timbul apatah lagi ia dibina di tengah sungai.

"Kebiasaan rumah tapuk tidak dibina di sungai yang besar atau lebar sebaliknya di kawasan sungai yang turut mempunyai pokok di sekitar tebing bagi memudahkan tali atau tiang sokongan dibina.

"Pembinaan rumah dilakukan ketika air sungai surut bagi membolehkan tiang rumah yang menggunakan pokok hutan ditanam di dalam sungai. Jika sungai dalam dan berarus deras, ia sudah pasti menyukarkan kerja menanam tiang.

KHAIRUL Nizam (kiri) bersama rakannya menunjukkan ikan yang ditangkap menggunakan kaedah menapuk.
KHAIRUL Nizam (kiri) bersama rakannya menunjukkan ikan yang ditangkap menggunakan kaedah menapuk.

"Selepas tiang dipasang, kerja membuat lantai akan dijalankan dan kebiasaan lantai menggunakan kayu terpakai selain dibeli daripada penduduk setempat yang melakukan ubah suai rumah," katanya.

Khairul Nizam berkata, kerja pembinaan dilakukan secara bergotong -royong bersama rakan. Rumah tapuk mengambil masa kira-kira satu atau dua minggu untuk disiapkan tetapi ia juga bergantung kepada saiznya.

Menurutnya, rumah tapuk yang dibina itu boleh menampung sehingga lapan orang pada satu - satu masa.

Katanya, tiang atau lantai yang rosak akan diganti bagi memastikan keselamatan terutama ketika bermalam ketika menahan tapuk dan pukat.

Bagi menangkap ikan, tapuk atau pukat akan diikat pada rumah dan tapuk yang digunakan dibuat daripada benang nilon bernilai RM1,000.

Sementara itu, Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup Teromba Penglipur Lara, Profesor Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin berkata, rumah tapuk dipercayai sudah wujud ketika zaman Kerajaan Langkasuka, antara kerajaan terawal yang wujud di Semenanjung.

Katanya ketika itu rumah tapuk banyak dibina di Sungai Serting yang turut menjadi sebahagian Jalan Penarikan yang cukup terkenal selain menjadi laluan kapal dagang paling sibuk ketika itu.

"Rumah tapuk yang dibina adalah sebuah rumah serba lengkap dan apabila tapuk dipasang, kebiasaan mereka akan bermalam di rumah berkenaan.

"Ada juga pedagang yang datang berniaga, turut bermalam di rumah tapuk yang dibina tidak menggunakan paku dengan tiang diikat menggunakan akar dikenali akar lemponang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2023 @ 6:11 AM