BERGAMBAR bersama jemaah masjid di Kampong Thom sebelum bertolak ke Poipet di sempadan Thailand.
BERGAMBAR bersama jemaah masjid di Kampong Thom sebelum bertolak ke Poipet di sempadan Thailand.
Ahmad Hasbi


AKTIVITI jelajah berbasikal sudah banyak dilakukan peminat sukan berkenaan di negara ini terutama selepas dunia memasuki fasa endemik Covid-19.

Ada yang berkelana ke negara orang sehingga ke Eropah dengan hanya berbasikal dan tidak kurang juga yang mengelilingi Semenanjung Malaysia atau ke Borneo.

Berbeza dengan seorang guru, Ahmad Safwan Azaha, 40, dari Kuala Terengganu ini apabila memilih untuk 'touring' sambil menyantuni dan melihat kehidupan komuniti Muslim di negara Indochina bersama bapa mentuanya, Mohd Noor Hassan, 65.

Bermula dari Lapangan Terbang Tan Son Nat dekat bandar raya Ho Chi Minh, Vietnam jarak keseluruhan kayuhan itu adalah sejauh kira-kira 900 kilometer (km).

Ahmad Safwan berkata, kayuhan hari pertama menuju ke satu perkampungan Islam di Wilayah Tay Ninh.

"Hari pertama kayuh kami mengalami kejutan budaya kerana susah untuk berhenti mencari makanan halal ditambah dengan jumlah motosikal yang banyak dan cuaca panas.

"Memang mencabar. Kayuh sejauh 100km memenatkan kami, namun akhirnya lewat petang sampai juga di Tay Ninh," katanya.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, wilayah yang dilawati di Tay Ninh hanya didiami kurang 100 keluarga beragama Islam.

"Namun saya amat mengagumi mereka kerana sangat meraikan saudara Islam dari Malaysia. Ada tiga keluarga mengambil peluang untuk jamu kami makan malam dan sarapan.

"Hari kedua pula kayuhan kami dari Tay Ninh ke Wilayah Kampong Cham di Kemboja. Di sini kami terpaksa melepasi sempadan dua negara dan alhamdulillah ia berjalan lancar.

"Stesen minyak di negara ini juga tiada tandas dan kebanyakan hanya menjual petrol semata-mata. Ia menjadi antara cabaran bagi saya dan mentua," katanya.

Guru subjek sukan di sebuah sekolah rendah itu berkata, sejak memulakan perjalanan pada waktu pagi, mereka hanya menemui kedai makanan halal kira-kira jam 5 petang.

"Kami sempat bersembang dengan seorang wanita Muslim dan dia fasih berbahasa Melayu. Katanya kalau mahu ke Wilayah Kampong Cham, dia mencadangkan supaya menuju ke Masjid Phum Roka.

"Difahamkan di sana ramai yang boleh berbahasa Melayu. Kami terus ke sana dan pada waktu Maghrib, kami dipelawa seorang ustaz untuk bermalam di situ," katanya.

Ahmad Safwan berkata, pada hari ketiga beliau menuju Kampong Thom dan mengambil kesempatan untuk membungkus makanan halal kerana dalam perjalanan nanti sukar untuk mendapatkan makanan halal.

"Jarak ke Kampong Thom adalah sejauh 150km. Ketika tiba di sana, kami dipelawa untuk bermalam di masjid kerana jarak hotel jauh dari restoran halal.

"Di kawasan ini hanya 60 keluarga Muslim tetapi ketika solat jemaah agak ramai setiap waktu.

"Mereka sangat meraikan kunjungan saudara dari Malaysia. Sebelum Maghrib dan selepas Isyak ada yang hantar nasi berlauk pada kami," katanya.

Menurutnya, kayuhan pada hari keempat sejauh 150km menuju ke bandar Siem Reap dan ketika tiba di lokasi itu mereka sempat singgah di sebuah masjid.

"Ramai Muslim boleh berbahasa Melayu dan di sini paling banyak kedai makanan halal sepanjang tujuh hari kayuhan.

"Pada hari kelima kami menuju ke sempadan Thailand di Poipet. Di sini ada juga kawasan penduduk Muslim dan kami dipelawa bermalam di masjid," katanya.

Ahmad Safwan dan mentuanya menuju ke Chansao di Thailand pada hari keenam dan sebaik masuk ke negara gajah putih itu terdapat perbezaan yang ketara.

"Banyak tempat kami boleh berhenti rehat dan boleh cari makanan halal atau sekurang-kurangnya boleh beli roti serta air di kedai serbaneka.

"Kayuhan hari ketujuh menuju ke Bangkok. Pada hari kelapan dan kesembilan kami pos basikal ke Sungai Golok menggunakan kereta api.

"Tiba di Sungai Golok keesokan harinya, kami sambung kayuhan pulang ke Kuala Terengganu," katanya.

Menceritakan pengalamannya menyantuni saudara seagama di negara Indochina itu, Ahmad Safwan berkata ia sangat bersyukur kerana dilahirkan di Malaysia.

"Keadaan mereka sangat daif terutama Muslim di Kemboja. Mereka sangat memerlukan bantuan dan perhatian terutama daripada Malaysia.

"Mereka tidak lokek untuk berkongsi makanan. Apa yang lebih saya banggakan kerana sebahagian besar daripada mereka fasih bertutur bahasa Melayu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 7:00 AM