MOUNT Tebu Climbathon Challenge mendapat sambutan mengalakkan.
MOUNT Tebu Climbathon Challenge mendapat sambutan mengalakkan.
Hafiz Ithnin


PELANCONGAN sukan adalah salah satu segmen dalam sektor pelancongan yang semakin mendapat perhatian kerana ia menawarkan dunia pengembaraan yang berbeza.

Baru-baru ini penulis sempat menyertai perlumbaan larian gunung atau dikenali sebagai 'climbathon' di Gunung Tebu di Besut, Terengganu. Acara yang dikenali sebagai Mount Tebu Climbathon Challenge itu dianjurkan Terengganu Backpackers dan TAC Outdoor.

Pengarah acaranya, Muhammad Rafi Kori berkata, acara itu turut mendapat sokongan daripada Tourism Malaysia, Tourism Terengganu dan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu.

Jelasnya, Mount Tebu Climbathon Challenge turut bekerjasama dengan Persatuan Kembara Negara (PKN) yang mempunyai pengalaman luas dalam dunia pendakian tempatan dan luar negara.

"Pada acara kali ini kami dapat menarik 520 peserta. Hampir 50 peratus daripada jumlah itu adalah peserta dari luar Terengganu yang mengambil kesempatan untuk menguji ketahanan mereka bagi menawan gunung berketinggian sekitar 1,039 meter dari aras laut itu.

"Kebiasaannya bagi pendaki biasa mengambil masa sekitar lapan jam untuk tiba di puncak Gunung Tebu dan pada acara kali ini pelumba terpantas merekodkan masa dua jam sepuluh minit untuk melengkapkan larian," katanya.

PESERTA perlu berlari dalam sungai untuk ke garisan penamat.
PESERTA perlu berlari dalam sungai untuk ke garisan penamat.

Tambahnya, Mount Tebu Climbathon Challenge juga adalah salah satu strategi untuk mempromosikan Terengganu sebagai pelancongan sukan terutama membabitkan aktiviti pendakian.

"Di Terengganu ini ada beberapa gunung di bawah hutan lipur antaranya Gunung Tebu sendiri, Gunung Berembun, Gunung Gajah Terom dan Gunung Sarut.

"Jadi, sebagai anak tempatan, menerusi acara ini kami turut ingin memperkenalkan kepada pengunjung dalam kalangan peserta mengenai keindahan salah satu gunung di Hutan Lipur Terengganu iaitu Gunung Tebu," katanya.

Ketika menyertai cabaran climbathon itu pada 1 Oktober lalu, persaingannya boleh dikatakan mencabar memandangkan trek ketika menuju puncak agak berakar yang memerlukan peserta berhati-hati ketika berlari terutama ketika perjalanan turun.

LALUAN jambatan gantung di awal perlumbaan.
LALUAN jambatan gantung di awal perlumbaan.

Kira-kira tiga kali peserta perlu merentas sungai dalam perjalanan ke puncak. Bagi mereka yang mengejar kelajuan pastinya tidak menanggalkan kasut kerana ia akan mengambil masa.

Tidak sekadar itu, kira-kira 400 meter terakhir, penganjur juga menyediakan cabaran tersendiri apabila peserta perlu meredah laluan sungai. Pastinya jarak terakhir menguji ketahanan mental.

Trek Gunung Tebu bukan sekadar menawarkan cabaran pendakian, malah mempunyai destinasi perkelahan sungai untuk keluarga dan kehijauan flora yang masih memukau. Di puncak Gunung Tebu sendiri, pendaki dapat melihat dengan jelas panorama Laut Cina Selatan dan gugusan pulau di sekitarnya.

BARISAN pemenang pelbagai kategori.
BARISAN pemenang pelbagai kategori.

Rafi berkata, hasil pelaksanaan program itu, masyarakat setempat turut mendapat limpahan ekonomi terutama pusat penginapan, restoran dan penduduk orang kampung yang berniaga makanan secara kecil-kecilan.

"Selain itu, program pelancongan sukan seperti ini juga mengeratkan masyarakat dengan pihak yang terbabit secara langsung dalam aktiviti pergunungan," katanya.

Mount Tebu Climbathon Challenge yang mempunyai jarak pendakian 15.4 kilometer (km) itu mempunyai lima kategori termasuk satu acara 'fun run' denai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 7:00 AM