KEINDAHAN air terjun Shifen.
KEINDAHAN air terjun Shifen.
Hafizah Hasan


"DO you bring any fruits?"

demikian pertanyaan pegawai bertugas dalam pelat Mandarin yang pekat sebaik penulis dan dua rakan menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaohsiung, pertengahan Januari lalu.

Sepanjang laluan menuju kaunter imigresen, ramai pegawai berlegar-legar secara rambang memegang sepanduk mengingatkan penumpang supaya mengisytiharkan makanan yang dibawa.

Nasib tidak menyebelahi kami apabila sejumlah besar makanan yang dibawa turut dirampas dan hanya tinggal beberapa peket nasi goreng segera.

Bermulalah perjalanan 11 hari kami dari selatan ke utara Taiwan ketika dunia di ambang penularan pandemik Covid 19.

Dua hari pertama di Kaohsiung dihabiskan dengan melawat beberapa mercu tanda bandar industri terbesar di Taiwan itu menggunakan pas pengangkutan awam 24 jam untuk pelancong.

Antaranya Perpustakaan Negeri sambil menikmati pemandangan malam Pusat Konvensyen Kaohsiung dari atas bumbung perpustakaan, melihat pasar malam yang sangat sinonim dengan Taiwan, singgah di stesen MRT Formosa Boulevard menyaksikan persembahan lampu di Dome of Light, menaiki feri dan berbasikal di Pulau Cijin.

TAMAN Negara Taroko yang indah.
TAMAN Negara Taroko yang indah.

PENULIS bersama rakan di Stesen MRT Formosa Boulevard yang terkenal dengan keunikan Dome of Light.
PENULIS bersama rakan di Stesen MRT Formosa Boulevard yang terkenal dengan keunikan Dome of Light.

Kami turut dimaklumkan rakan di Malaysia mengenai pandemik Covid-19 yang mengejutkan dunia.

Kes pertama Taiwan disahkan pada 21 Januari lalu manakala ketibaan kami pada 19 Januari 2020.

Penulis dan rakan mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengambil vitamin C, memastikan kami sentiasa terhidrat dan memakai pelitup muka.

Destinasi berikutnya adalah Alishan, tempat peranginan tanah tinggi yang terkenal dengan hutan cedar dan sakura.

Di situ penulis dan rakan berpeluang merasai pengalaman menaiki kereta api yang landasannya dibina di pergunungan melalui cerunan lembah serta celahan hutan.

Kami juga menikmati pemandangan hijau yang sayup saujana mata memandang.

Selepas kereta api, perjalanan diteruskan dengan bas kerana landasannya musnah akibat puting beliung pada 2014.

Dalam kedinginan musim sejuk yang masih bersisa, kami menjelajah pergunungan dipenuhi pohon cedar berusia ratusan tahun malah ada dianggarkan berusia 2, 700 tahun.

Putik-putik sakura yang mulai kelihatan juga menambah keindahan landskapnya.

Selepas puas menjelajah kawasan pergunungan, penulis dan rakan menuju ke bandar metropolitan kedua terbesar Taiwan, Taichung.

Setiba di Taichung kami terus ke Rainbow Village yang terkenal dengan lukisan mural penuh di dinding.

Walaupun namanya kampung (village), sebenarnya ia sebuah kompleks kecil yang menempatkan beberapa kedai cenderamata dan sebuah laman kecil.

Kelihatan sekumpulan kanak-kanak sedang membuat konsert akustik mini ketika kami tiba.

Kemudian kami ke Gaomei Wetland yang popular dengan pemandangan matahari terbenam berlatarkan deretan kincir angin gergasi di pesisir laut.

Tepat masanya ketika kami tiba di sana, matahari terbenam indah perlahan-lahan membawa kedinginan malam.

Malamnya pula kami melawat kedai aiskrim Miyahara yang hanya beberapa minit dari tempat kami menginap.

Kedai ini bukan hanya terkenal dengan aiskrim dan kuih nanasnya, malah rekaan dalamannya sangat dipengaruhi cerita Harry Porter.

Sehinggakan apabila berada di dalamnya seolah-olah bukan di kedai menjual aiskrim, kuih dan biskut.

Sebelum bergerak ke destinasi seterusnya, kami meluangkan masa menjelajah kota Taichung dengan berjalan kaki.

Bagaimanapun, sebahagian besar bandarnya seolah-seolah mati kerana ketika itu sehari sebelum sambutan Tahun Baru Cina.

Taiwan terkenal dengan orangnya yang 'family person', oleh itu peluang cuti umum akan dihabiskan bersama keluarga di rumah.

Ketika musim perayaan, rata-rata perniagaan ditutup kira-kira seminggu ditambah pula dengan situasi penularan pandemik Covid-19.

Taipei, ibu negara Taiwan bandar penjelajahan seterusnya.

Rancangan asal kami mahu melawat pekan Wulai di luar bandar Taipei, tetapi memandangkan keadaan tidak mengizinkan ketika itu akibat penularan Covid-19, penulis dan rakan memutuskan hanya ke pekan berdekatan.

Tiada apa-apa sambutan mahupun bunga api yang kedengaran pada malam tahun baru dan bandar raya itu sunyi sepi hanya ditemani hujan renyai sepanjang malam.

Destinasi kami yang berikutnya adalah Hualien, kampung halaman kepada Taman Negara Taroko.

Bagaimanapun, sebelum ke sana, kami berdepan pengalaman mendebarkan iaitu tersesat ketika mencari kembali bagasi yang disimpan di dalam loker di stesen kereta api Taipei.

ANTARA perkhidmatan kereta api yang disediakan di Alishan.
ANTARA perkhidmatan kereta api yang disediakan di Alishan.

PENULIS (kanan) bersama rakan di Rainbow Village, Taichung.
PENULIS (kanan) bersama rakan di Rainbow Village, Taichung.

Apa tidaknya, kompleks stesen kereta api Taipei begitu besar dan selepas sejam keluar masuk, kami masih tidak temui loker yang betul.

Lebih menyedihkan, kami juga terpaksa membeli tiket perjalanan baharu kerana terlepas kereta api jadual asal.

Selepas semuanya selesai, bermulalah perjalanan kami ke Hualien untuk berkunjung ke Taman Negara Taroko.

Taman seluas 920 kilometer persegi itu diwartakan sebagai taman negara pada 1986.

Ia terkenal dengan gunung-ganang yang sebahagian besarnya terbina daripada batuan marmar semula jadi.

Di situ kami menggunakan khidmat pemandu peribadi yang ditempah di laman sesawang Klook untuk tempoh lapan jam dari Hualien ke Taroko dan kembali semula ke Hualien.

Namun, hampir seharian di taman negara itu dirasakan tidak mencukupi untuk menghayati keindahan alamnya.

Taman Negara itu terlalu besar untuk dijelajahi dalam sehari dua, namun cukup bagi penulis dan rakan mendapat gambaran keindahannya.

Dari Hualien kami kembali ke Taipei dengan singgah ke Pingxi Rail Line melihat langit dipenuhi tanglung pelbagai saiz dan warna serta keindahan air terjun Shifen.

Perjalanan diteruskan ke stesyen Badouzi di pesisir pantai menghadap Laut Cina Timur.

Dingin bayu laut ditambah hujan tidak menghalang kami menikmati pemandangan yang terbentang indah di depan mata.

Sementara itu, hari terakhir kami dihabiskan di sekitar kota raya Taipei sahaja.

Kami hanya meninjau beberapa kawasan tumpuan umum dan mencari kedai makanan halal sebelum meninggalkan Taiwan.

Faktor cuaca yang sentiasa mendung ditambah keadaan semasa dunia dengan pandemik Covid - 19 secara tidak langsung turut memberi kesan kepada penjelajahan kami ke bumi Taiwan.

Semoga vaksin untuk pandemik Covid 19 ditemui segera dan dunia kembali pulih seperti sedia kala.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 6:48 AM