LEOFOO Village Theme Park antara tempat wajib kunjung jika ke Taiwan.
LEOFOO Village Theme Park antara tempat wajib kunjung jika ke Taiwan.
Hartini Mohd Nawi

Diari tugasan kali ini antara menyingkap seribu satu pengalaman manis yang sukar penulis lupakan.

Lebih bermakna apabila ia disertai sembilan ejen pelancongan Muslim Malaysia yang tentunya menjadikan jadual perjalanan sepanjang berada di Taiwan sungguh bermakna. Tidak dinafikan mereka (ejen pelancongan) sangat arif dengan sebarang situasi di negara asing.

Tugas membuat liputan program tajaan China Airlines Muslim Travel Agent and Media Fam Trip selama lima hari enam malam sangat menyeronokkan. Menariknya, ia juga membabitkan empat media dan dua bloger.

Bertambah lengkap kerana Eksekutif Pemasaran China Airlines cawangan Malaysia, Tracy Lim turut mengiringi kami. Penghargaan istimewa juga kerana program ini ditaja sepenuhnya China Arlines dan Pejabat Taiwan Tourism Biro Kuala Lumpur.

Berkumpul seawal pagi sebelum daftar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk penerbangan ke Taiwan, pertemuan pertama dalam kalangan kami sudah dirasakan ada keserasiannya. Penerbangan yang memakan masa lebih kurang lima jam itu akhirnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan.

BINAAN unik di Tai-Yi Ecological Leisure Farm.
BINAAN unik di Tai-Yi Ecological Leisure Farm.

Selepas makan tengah hari, empat kit wifi pengembaraan, kami perlu berpecah kepada beberapa kumpulan kecil. Bermakna setiap satu kod wifi itu hanya untuk empat orang.

Jadi penulis berada dalam kumpulan terdiri daripada Pengarah Eye M Hear Holiday Sdn Bhd Noor Khalini Omar, mesra disapa Kak Noor, Pengarah Urusan Five Estec Travel Services Sdn Bhd Sharizan Mohd Saad (Sha) dan Eksekutif Perkhidmatan Pelanggan Triways Travel Centre (M) Sdn Bhd Noor Hasniza Azman (Niza).

Sebelum senja, sempat kami singgah di pasar malam Shilin yang menawarkan pelbagai barangan termasuk cenderahati menarik. Semakin menjelang malam, suasana di pasar kian meriah dengan limpahan lampu, lorong gerai dan pengunjung asing serta tempatan pelbagai usia.

SENI bina dan persekitaran hijau di Tai-Yi Ecological Leisure Farm.
SENI bina dan persekitaran hijau di Tai-Yi Ecological Leisure Farm.

Terletak di daerah Shilin Taipei, pasar malam ini hanya 70 meter dari Stesen MRT Jiantan antara Dadong Rd, Danan Rd, Wenlin Rd dan Jihe Rd. Lelong lorong diisi dengan pelbagai barangan tempatan, tradisional dan antarabangsa yang menarik perhatian.

Sementara itu, suasana meriah di kawasan stadium berdekatan Halal Bismilla Restaurant pula sebenarnya tanda memberikan sokongan kepada atlet yang menyertai Sukan Universiti Dunia 2017 (Universiade) Taipei.

Biarpun sekadar berada di luar stadium, sorakan dan nyanyian lagu berkumandang dari pelbagai lapisan usia bagi membangkitkan semangat atlet. Kemeriahan itu memberi peluang kepada kami merakam gambar kenangan sebanyak mungkin.

SINGGAH bersolat di Masjid Besar Taipei.
SINGGAH bersolat di Masjid Besar Taipei.

Keriuhan suara-suara penyemarak semangat penyokong, menenggelamkan keterujaan kami yang sibuk merakam gambar kerana kebanyakan kami kali pertama berada di Taiwan.

Esoknya, ketika berada di dalam Kereta api Berkelajuan Tinggi Taiwan (THSR) dari Taipei City ke Taichung City, turut mengukir pengalaman tersendiri. Pengalaman pertama menaiki THSR tentunya sungguh mengujakan buat penulis.

Penulis merakam sebanyak mungkin gambar pemandangan di sepanjang perjalanan. Daripada keindahan perkampungan, ladang hingga pemandangan bukit-bukau, semuanya terakam dalam kamera yang penulis bawa.

THSR ini membawa kami ke Taichung City.
THSR ini membawa kami ke Taichung City.

“Taiwan juga kaya dengan keindahan semula jadi.

“Pemandangan tetap menarik walaupun musim panas,” bisik hati penulis.

Seterusnya kunjungan petang ke Tasik Sun Moon yang juga antara tasik terbesar di Taiwan dan menawarkan pemandangan indah serta pelbagai tarikan itu begitu bermakna.

Diari perjalanan turut terisi apabila dalam kabus tebal kami berpeluang menjejakkan kaki di Xiaoyoukeng iaitu kawasan geologi aktif bekas letusan gunung berapi seperti kawah dan kolam air panas.

Dalam samar-samar, kami tidak melepaskan peluang merakam gambar. Basah juga baju dek hujan renyai-renyai yang diikuti tiupan angin.

PEMANDANGAN ini dapat anda saksikan sebaik menaiki bot di Tasik Sun Moon.
PEMANDANGAN ini dapat anda saksikan sebaik menaiki bot di Tasik Sun Moon.

Berada di Yehliu Geopark pula, bagaikan mengunjungi dunia berbeza. Bayangkan di depan mata saujana indah batu-batuan semula jadi terbentuk menyerupai pelbagai arca termasuk wajah manusia, cendawan dan lilin.

Lapisan batu-batuan mengandungi batu kapur terbentuk hasil daripada hakisan, cuaca dan pergerakan bumi menjadi tarikan luar biasa untuk kita berkunjung ke situ.

Berdepan tiupan angin kencang memerlukan anda berhati-hati saat merakam gambar bagi mengelakkan telefon bimbit atau kamera terjatuh.

Tidak lengkap percutian tanpa singgah di Tea & Rice Resort untuk makan tengah hari dan mencuba aktiviti mengenali serta menghasilkan kuih daripada beras tempatan. Gamat seketika apabila tiba aktiviti membuat sendiri kek cawan dan kuih berbentuk hati secara tradisional.

Sesudah itu, bas kami mula menyelusuri kawasan bukit. Bermakna destinasi seterusnya kawasan jauh dari kesibukan kota. Tenang dan mendamaikan.

DARI kiri penulis  bersama Sharizan, Hasniza dan Noor Khalini bergambar kenangan ketika menyiapkan sendiri sajian stimbot ala tom yam di Tea & Rice Resort.
DARI kiri penulis bersama Sharizan, Hasniza dan Noor Khalini bergambar kenangan ketika menyiapkan sendiri sajian stimbot ala tom yam di Tea & Rice Resort.

Akhirnya di depan mata Toucheng Leisure Farm, nyata mendekatkan penulis dengan persekitaran semula jadi termasuk kewujudan ladang buah-buahan, sawah padi lengkap rumah petani.

Aktiviti selepas makan malam turut mengeratkan ikatan persahabatan kami. Riuh rendah ketika kami yang dipecahkan kepada dua kumpulan untuk membuat lantera. Kelakar pun ada apabila lantera kumpulan disertai penulis tidak berjaya ‘diterbangkan.’

Pengalaman dekat dengan alam juga terus memenuhkan diari perjalanan kami apabila keesokan harinya kami diberi peluang memetik jambu batu di Dusun Jinpu.

Nyata, pengalaman enam hari lima malam di Taiwan belum cukup untuk kami meneroka sepenuhnya keunikan negara mesra pelancongan Muslim itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 11:07 AM