PELBAGAI warna dan karakter Myvi.
PELBAGAI warna dan karakter Myvi.
Lizam Ridzuan


SEPERTI tahun sebelumnya, Kelab Myvi Generasi Ketiga (MG3C) menganjurkan Hari Keluarga dan Mesyuarat Tahunan kali ke-6 yang diadakan baru-baru ini di Kijal, Terengganu.

Lebih 200 Myvi datang dari setiap zon seluruh negara iaitu Central, Pantai Timur, Selatan dan Utara yang memulakan konvoi dari Stesen Shell Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Gombak menghala pantai timur.

Menariknya, kelab ini turut mendapat tajaan Shell sebagai penaja utama dengan penyediaan baucar petrol untuk semu peserta yang terbabit ketika program.

Perjalanan konvoi adalah lancar dan sebaik tiba di Kijal adalah kesempatan dan peluang terbaik untuk lebih mengenali rakan-rakan kelab dari zon berbeza bagi mengeratkan silaturahim.

Presiden MG3C, Mohd Affan Mohd Aris, 37 berkata, ketika menjalankan program sebegini, mereka sentiasa menitikberatkan sikap pemanduan yang berhemah dan elakkan bersifat seperti gengster atas jalan raya.

KEHADIRAN lebih 200 kenderaan.
KEHADIRAN lebih 200 kenderaan.

"Bila menyentuh mengenai Myvi, ramai yang memberi jolokannya sebagai 'King of The Road', namun model kereta itu tidak salah dan yang menjadi punca ialah pemandu yang mengendalikannya.

"Sekiranya pemandu mengamalkan pemanduan yang bersopan serta mematuhi peraturan jalan raya ia akan memberi refleksi terhadap model dan jenama kenderaan itu sendiri," katanya.

Tambahnya MG3C bukan sekadar kelab permotoran, malah mempunyai Skuad Sukarelawan PEPA Warrior untuk membantu misi bantuan kemanusiaan, banjir dan penjagaan alam sekitar.

Sepanjang program juga diadakan aktiviti sukaneka, BBQ dan makan malam bertema adalah menjadi program wajib setiap kali acara tahunan itu dianjurkan.

AKTIVITI sukarelawan daripada peserta.
AKTIVITI sukarelawan daripada peserta.

Bagi menambah kemeriahan, juga diadakan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik yang disumbangkan oleh penaja dan rakan-rakan ahli.

"Selain Myvi kami juga disertai rakan-rakan komuniti yang hadir bersama iaitu MG3 Setia Alam, Geng Merbok Alpha Familia, MG3 Terengganu, MG3FL Terengganu dan MG3FL Central," katanya.

MG3C juga sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin melakukan aktiviti sukarelawan di negara ini sebagai salah satu aktiviti dan kelebihan buat yang menyertai kelab ini.

"Kami ingin menonjolkan dengan menyertai kelab kereta terdapat banyak sekali aktiviti berfaedah boleh dilakukan bersama dengan sokongan ahli-ahli yang kembali disumbangkan kepada masyarakat menerusi kerja amal," katanya.

Mengenai aktiviti masa hadapan, MG3C kini dalam perancangan untuk acara Myvi Nation Day Edisi-2 yang dijangka diadakan pada Februari tahun depan selain acara sampingan bersama gabungan kelab yang lain sehingga hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 6:17 AM