KONVOI Honda ADV150 erat keakraban sesama pemilik.
KONVOI Honda ADV150 erat keakraban sesama pemilik.
Lizam Ridzuan

Menikmati pemandangan alam sekitar bersama rakan-rakan dalam konvoi motosikal sememangnya menyeronokkan.

Ia bukan saja memberikan kepuasan sepanjang perjalanan, malah mengeratkan silaturahim.

Untuk itu, lebih 40 pemilik daripada gabungan kelab skuter Honda ADV150 di Lembah Klang terdiri daripada Underground, Karib, Kerabat dan Riders mengadakan program Ride 3 Puncak baru-baru ini.

Perjalanan dimulakan di Shell, Gombak menuju Genting Highlands.

LOKASI pertama di Genting Highlands.
LOKASI pertama di Genting Highlands.

Konvoi kemudian bergerak ke Bukit Fraser menerusi laluan Gohtong Jaya dan Kuala Kubu Bharu.

Perjalanan berbukit dan selekoh tajam sememangnya mencabar, namun skuter ADV150 menawarkan pengendalian yang baik selain selesa untuk ditunggang.

Selepas tiba di Bukit Fraser dan berehat, perjalanan diteruskan ke puncak ketiga melalui jalan Raub dan terdapat bekas runtuhan tanah, namun dilalui dengan baik sebelum ke Kuala Lipis menerusi Sungai Koyan ke Cameron Highlands.

Setibanya di sana, antara aktiviti yang diadakan ialah BBQ pada sebelah malam selain sesi suai kenal bersama pemilik ADV150 dari Perak.

KETIKA di Bukit Fraser.
KETIKA di Bukit Fraser.

Pada keesokan harinya, peserta bersiar-siar di sekitar Cameron Highlands, Mossy Forest selain membeli juadah untuk dibawa pulang.

Sekitar jam 2 petang, konvoi bergerak turun ke Simpang Pulai menuju Lebuhraya Utara Selatan (Plus) untuk ke Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Tapah dan kemudian singgah di Tanjung Malim untuk membasahi tekak sebelum meneruskan perjalanan.

Sekitar jam 6 petang, konvoi bergerak ke destinasi masing-masing.

Konvoi dipecahkan kepada dua kumpulan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas selain bagi tujuan penjarakan fizikal dan mengekalkan pematuhan operasi standard (SOP) sepanjang tempoh pandemik lalu.

RIDE 3 Puncak gabungan kelab Honda ADV150.
RIDE 3 Puncak gabungan kelab Honda ADV150.

Presiden Kelab Underground Mohd Shaiful Osman sebagai penganjur bersama berkata, ini kali pertama empat kelab bergabung dalam satu konvoi bagi meluaskan lagi kerjasama sesama pemilik.

"Ia bukan sekadar konvoi, tapi bagi tujuan mengumpul dana untuk disumbangkan ke rumah asnaf sepanjang Ramadan ini menerusi jualan pelekat kelab.

"Kami sempat juga melakukan kutipan derma kilat untuk seorang ahli yang meninggal dunia akibat kemalangan motosikal ke tempat kerja bagi membantu meringankan beban warisnya.

"Selain itu, kami akan menganjurkan hari keluarga pada Oktober depan dan menjemput semua pemilik Honda ADV150 untuk menyertainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 9:43 AM