ANTARA kereta Porsche yang siap dicat di Pusat Porsche Johor Bahru.
ANTARA kereta Porsche yang siap dicat di Pusat Porsche Johor Bahru.
Izz Laily Hussein


Jenama kereta terkemuka, Porsche dengan kerjasama Sime Darby Auto Performance (SDAP) Sdn Bhd membuka Pusat Porsche 4S pertama di Malaysia buat pelanggan dan peminat jenama kereta mewah itu.

Pusat Porsche Johor Bahru yang menggabungkan pusat jualan, servis dan alat ganti serta 'body and paint' itu dibuka secara rasmi baru-baru ini dengan memperkenalkan konsep 'Destination Porsche'.

Dengan konsep itu, maka pusat yang terletak di Persiaran Danga Perdana, Danga Bay di sini, mengutamakan keselesaan pengunjung yang disajikan dalam premis tiga tingkat berkeluasan 5,412 meter persegi.

Ketua Pegawai Eksekutif Porsche Asia Pasifik Hannes Ruoff berkata, Pusat Porsche Johor Bahru itu dilengkapi dengan ciri-ciri terkini yang membezakannya daripada pusat jualan Porsche yang lain di negara ini.

Katanya, dengan mencecah pelaburan lebih RM28 juta, Pusat Porsche Johor Bahru memperkenalkan seni bina korporat terbaharu di Malaysia dan turut menyediakan kemudahan baik pulih yang lengkap bagi kereta klasik Porsche.

"Pelancaran kereta buatan tempatan Cayenne pertama yang dipasang di kilang kami di Kedah awal tahun ini, jelas membuktikan keyakinan kami terhadap potensi rantau Asean dan menyerlahkan hubungan kerjasama yang terjalin antara kami dengan SDAP.

HANNES (kanan) bergambar bersama Porsche 718 Cayman GT4 RS yang pertama kali dilancarkan di Pusat Porsche Johor Bahru.
HANNES (kanan) bergambar bersama Porsche 718 Cayman GT4 RS yang pertama kali dilancarkan di Pusat Porsche Johor Bahru.

"Kami amat berbangga kerana dapat memperkenalkan jenama ke tahap lebih unggul kepada peminat Porsche melalui kemudahan canggih ini dan pada masa sama mempertingkatkan pengalaman pemilikan Porsche dengan tawaran perkhidmatan yang lebih luas berasaskan cita rasa individu," katanya pada Majlis Pelancaran Pusat Porsche Johor Bahru di sini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif SDAP Christopher Hunter.

Hannes Ruoff berkata, selaras dengan prinsip jenama Porsche yang dinamik, Pusat Porsche Johor Bahru turut menawarkan simulasi perlumbaan e-sukan bagi peminat kereta jenama itu selain ruang sosial yang kondusif untuk pelanggan dan komuniti Porsche.

PUSAT Porsche Johor Bahru menyediakan pusat jualan, servis dan alat ganti serta ‘body and paint’.
PUSAT Porsche Johor Bahru menyediakan pusat jualan, servis dan alat ganti serta ‘body and paint’.

Katanya, bengkel servis di pusat itu pula menampilkan sembilan ruang servis dilengkapi teknologi dan peralatan terkini, juruteknik bertauliah dan mahir serta alat ganti Porsche yang tulen untuk tujuan penyelenggaraan dan pembaikan.

"Modul dalam pusat ini merangkumi 'highlight display', e-prestasi, Porsche klasik, 'fitting lounge', 'delivery bay' dan 'certified pre-owned car'.

"Semua kemudahan dan kelengkapan disediakan kami di sini, termasuk ruangan semburan cat bagi 'body and paint' adalah mengikut piawaian berkualiti bertaraf dunia," jelasnya.

Pada majlis itu, turut dilancarkan Porsche 718 Cayman GT4 RS yang membuat kemunculan sulung di pusat pameran itu dengan mewakili DNA perlumbaan sebenar dan konsep enjin yang menawarkan keseronokan pemanduan maksimum.

Antara ciri 718 Cayman yang baharu adalah, proses aliran pengambilan udara di belakang tingkap pemandu dan penumpang.

Pusat pameran di Pusat Porsche Johor Bahru menampilkan beberapa jenis kereta Porsche antaranya, 718 Cayman, Cayenne, Macan S, GT3RS, Taycan 4S dan Turbo S serta 911 Carrera 4S.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 6:35 AM