TRIUMPH Tiger 1200 Rally Explorer (kiri) dan GT PRO.
TRIUMPH Tiger 1200 Rally Explorer (kiri) dan GT PRO.
Lizam Ridzuan


GAYA lasak, rekaan agresif dan enjin prestasi antara elemen pilihan bagi peminat motosikal kembara yang semakin mendapat perhatian dalam pasaran.

Antara tawaran terkini motosikal ini ialah Triumph Tiger 1200 Serba Baharu yang menjengah ke pasaran tempatan baru-baru ini.

Ia didatangkan dengan dua varian iaitu GT Pro dan Rally Explorer bagi disesuaikan dengan corak dan gaya tunggangan. Ia dibezakan melalui elemen spesifikasi.

Untuk rekaan, ia tampil gaya lasak dan sesuai bagi kegunaan pengembaraan sama ada atas jalan raya atau laluan mencabar.

Ia juga dilengkapi lampu utama dan kabus LED, lampu selekoh aktif, lampu nyalaan siang (DRL), pelindung dan pemanas pendikit tangan, soket kuasa dan USB.

Kerangka motosikal ini dihasilkan menggunakan tiub keluli lebih ringan.

ENJIN serba baharu tiga silinder T-Plane.
ENJIN serba baharu tiga silinder T-Plane.

Varian GT Pro turut hadir dengan lengan hayun tri-link, brek cakera berkembar hadapan dengan angkup Brembo Stylema serta Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) selekoh.

Pada masa sama, ia juga tampil dengan panel meter TFT digital penuh bersaiz tujuh inci serta lima mod tunggangan iaitu Rain, Road, Sport, Off-Road dan Rider.

PACUAN 'shaft'.
PACUAN 'shaft'.

Untuk varian Rally Explorer, ia dilengkapi ciri tambahan seperti rim jejari depan bersaiz 21 inci manakala rim belakang pula bersaiz 18 inci.

Tangki juga lebih besar dan mampu memuatkan sehingga 30 liter bahan api untuk tunggangan lebih jauh.

Triumph Tiger 1200 didatangkan dengan enjin T-Plane serba baharu 1,160cc tiga silinder selari sejukan cecair DOHC.

Ia mampu menjana kuasa 150PS pada 9,000rpm dan tork 127Nm pada 7,000rpm.

METER TFT.
METER TFT.

Ia juga dilengkapi gear enam kelajuan pacuan shaft.

Pada masa sama, turut melengkapi motosikal ini ialah Kawalan Pelayaran, Kawalan Kekal Bukit dan penghidup tanpa kunci.

Varian Rally Explorer juga hadir dengan ciri lasak seperti pelindung lumpur, besi pelindung enjin dan pelindung tangki bahan api.

Untuk pasaran Malaysia, Triumph Tiger 1200 Serba Baharu dijual pada harga

RM115,900 (GT Pro) dan RM130,900 (Rally Explorer)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 7:00 AM