BELLA akui teruja nak buat persembahan nyanyian di China pada 28 April ini.
BELLA akui teruja nak buat persembahan nyanyian di China pada 28 April ini.
Norhayati Nordin


Di sebalik luka di hati yang mendalam, tetap ada nikmat kemanisan yang diberikan Allah kepada pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, 30, dalam mengharungi kehidupannya bersama anak-anak serta keluarga tercinta.

Apatah lagi, rezeki wanita bertubuh kecil ini nampaknya 'bertali-arus' bukan saja di dalam negara, namun turut membawanya ke China atas undangan bagi urusan kerjanya.

Pemilik nama sebenar Dayang Ara Nabella Awang Astillah ini berkata, dia hanya mampu mengucapkan kesyukuran kepada Yang Esa di atas segala rezeki dikurniakan untuk dirinya, anak-anak dan keluarga.

"Kehidupan sekarang, Alhamdulillah. Dengan adanya mama, papa dan adik-beradik saya, semuanya macam okay. Mereka beri saya semangat, bawa saya keluar (jalan-jalan) dan saya juga semakin banyak kerja.

"Pada 26 April (hari ini), saya berangkat ke China dan berada di sana selama 10 hari kerana menjayakan persembahan nyanyian atas undangan daripada satu syarikat jenama kenderaan terkenal yang melancarkan produk baharu mereka.

"Sebagai salah seorang duta jenama kereta itu juga, saya dilantik sejak tahun lalu dan sekarang ada produk baharu dilancarkan pada 28 April ini," katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yayasan Nurjiwa dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Menurut ibu dua cahaya mata itu, dia akan menghiburkan tetamu dari 80 negara yang hadir ke majlis pelancaran itu dengan tiga lagu merangkumi bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.

"Saya sedikit risau sebab akan nyanyi lagu Mandarin berjudul Zheng Fu yang sememangnya orang meletakkan harapan yang tinggi. Ditambah, penyanyi, Shila Amzah dan Datuk Siti Nurhaliza juga difahamkan pernah menyanyikan lagu ini.

"Bagaimanapun, saya sangat teruja. Jadi, untuk itu saya ada minta bantuan daripada penyanyi, Suki Low untuk tolong dari segi latihan sebutan perkataan, termasuk saya juga ada ambil kelas vokal," katanya.

Ditanya juga tawaran nyanyian itu, sekali gus menepis dakwaan dia yang dikataka

n tidak bagus menyanyi, Bella berkata, tiada apa nak dibuktikannya kerana sejak kecil sudah aktif menyanyi serta menyertai banyak pertandingan nyanyian.

"Saya tak ada nak membuktikan pada sesiapa pun (terhadap dakwaan menyanyi tak bagus). Cuma, saya masih belajar dan sampai bila-bila pun saya akan terus belajar.

Saya juga tak pernah rasa saya hebat ke atau apa.

"Bagi saya, apa yang lebih utama adalah semua ini rezeki untuk anak-anak. Saya bersyukur dan berusaha melakukan sebaik mungkin dalam persembahan kerana ia adalah kepercayaan orang kepada saya," katanya.

Netizen doa jodoh baru

Pada Aidilfitri baru-baru ini juga, Bella bersama anak-anak dan keluarga ada berkunjung ke rumah terbuka anjuran Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 31.

Menerusi hantaran gambar berdua dengan Bella yang dikongsikan Syed Saddiq di akaun Instagram miliknya dengan kata-kata semangat membuatkan ramai netizen meninggalkan komen positif mengenai jodoh mereka.

Bella berkata, kehadirannya bersama seisi keluarga ke majlis di kediaman Syed Saddiq itu kerana menerima undangan daripada tuan rumah dan foto berdua pula sekadar kenangan serta tiada apa-apa maksud lain.

"Sekarang saya nak fokus pada kes (perceraian) yang belum selesai dan semoga semuanya dipermudahkan. Jadi, perkara lain (jodoh baharu) saya tak nak fikir dulu sebab jauh lagi perjalanannya.

"Selain itu, saya juga fikir nak fokus menjaga anak-anak saja dulu sebab mereka pun masih kecil, mereka perlukan perhatian dan kasih sayang daripada saya. Tapi, saya ada juga baca komen ditulis netizen itu," katanya.

Menyifatkan apa yang ditulis itu lucu kerana ramai netizen memberi 'restu', Bella berkata, dia juga rasa kelakar apabila orang lain yang sibuk nak 'kenen-kenen' dirinya walaupun soal jodoh baharu itu masih terlalu jauh dan kurang manis untuk diperkatakan.

Bella berkata, apa pun dia menerima baik kata-kata semangat daripada Syed Saddiq itu kerana penting untuknya bangkit mengatur kehidupan baharu bersama anak-anak dan keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 6:01 AM