BAKAL tampil dengan lagu kerohanian bersama penyanyi, Tomok pada Ramadan akan datang. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
BAKAL tampil dengan lagu kerohanian bersama penyanyi, Tomok pada Ramadan akan datang. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Najiy Jefri


Walaupun hampir 15 tahun bergelar ibu tunggal, Siti Nordiana tidak

mempunyai sebarang perancangan untuk mendirikan bahtera perkahwinan.

Malah, setiap kali diajukan soalan mengenai sasaran untuk mendirikan rumah tangga, Siti Nordiana atau mesra disapa Nana tetap memberikan jawapan sama.

Katanya, dia belum menemui pengganti baharu dan lebih selesa fokus dengan kerjaya nyanyiannya.

"Jawapan saya tetap sama (masih solo), tapi tak tahulah kalau tiba-tiba ada calon tahun depan atau macam mana. Mana tahu berkat doa semua orang.

"Kalau ada jodoh, adalah. Tapi, buat masa sekarang belum ada. Saya lebih mengutam

akan kerja dan lebih selesa berkahwin dengan karier. Kalau ikutkan dari remaja sekitar 1999 saya berkahwin dengan karier saya," katanya.

NANA bawa konsep majlis kahwin dalam konsert. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
NANA bawa konsep majlis kahwin dalam konsert. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim

Menyentuh mengenai strategi pemasaran yang menggunakan gimik perkahwinan sebagai tarikan untuk menghebahkan konsert solonya pada 11 Mei depan, Nana berkata, dia tidak berniat mencipta publisiti murahan.

Kata pemilik nama sebenar Siti Nordiana Alias ini, gimik yang kononnya ingin menamatkan zaman solo itu selari dengan konsep dan tema Konsert Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun yang bakal dibawakan nanti di Zepp Kuala Lumpur.

"Ya saya bakal berkahwn di Zepp Kuala Lumpur pada 11 Mei depan, tapi pada hari itu adalah majlis perkahwinan saya bersama peminat yang tetap setia menyokong sehingga hari ini.

"Harap ramai yang datang ke konsert pertama saya nanti. Sebelum ini pernah buat persembahan, tapi ini adalah konsert berskala besar yang pertama buat saya.

"Alhamdulillah akhirnya terlaksana juga impian saya mahu mengadakan konsert tahun ini.

"Mengenai gimik perkahwinan itu, saya percaya tiada netizen yang kecam sebab semua faham ia adalah konsep perkahwinan bersama peminat.

"Sebenarnya konsep perkahwinan ini seperti saya berkahwin dengan peminat yang seperti kita sedia maklum peminat sangat sayangkan saya," katanya.

Ditanya mengenai keterujaannya untuk mengadakan konsert solo berskala besar buat kali pertama, Nana berkata, dia mengaku risau dan berharap semuanya berjalan lancar.

Katanya, sebagai persiapan menjelang konsert itu dia menghadiri kelas vokal bagi memastikan setiap peminat yang hadir berpuas hati dengan acara itu.

"Alhamdulillah masalah suara saya sudah bertambah baik selepas mendapat beberapa rawatan lanjut. Selepas hampir setahun saya makan ubat-ubatan, suara saya beransur pulih.

"Insya-Allah Mei nanti semuanya akan okay. Saya pun masih makan ubat dan pergi ke kelas vokal. Tidak dinafikan kebimbangan saya adalah kesihatan sebab bila demam atau selesema, suara kita akan berubah.

"Jadi, mahu atau tidak, saya kena disiplin menjaga kesihatan bermula sekarang dan kena aktif menjalani latihan vokal," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nana berkata, dia bakal tampil dengan lagu kerohanian bersama penyanyi, Tomok pada Ramadan akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 7:01 AM