Gambar terakhir pasangan pengantin. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Gambar terakhir pasangan pengantin. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

[email protected]

Sungai Besar: Pasangan pengantin baru, Aini Hayati Mohd Radzi, 22, dan Norsyam Nasullah Rahim, 23, jelas gembira meraikan hari perkahwinan mereka bersama ahli keluarga tercinta di Dewan Seri Bernam, di sini, kelmarin.

Semalam, pasangan itu bertolak ke sebuah butik pengantin di Kuala Lumpur untuk menghantar baju pengantin yang disewa.

Bagaimanapun ketika perjalanan pulang ke rumah keluarga isterinya di Kampung Tersusun Bagan Sungai Burong, di sini, Norsyam Nasullah maut dalam nahas tiga kenderaan di Batu 3, Jalan Bernam, Tanjong Karang.

Aini Hayati pula patah kaki kiri dan cedera di dagu.

Abang Aini Hayati, Muhd Aiman, 25, berkata, dia dan keluarga mendapat maklumat mengenai kemalangan itu menerusi Facebook.

Menurutnya, ketika itu dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Kajang sebelum dihubungi rakan adik perempuannya yang turut memaklumkan perkara sama.

"Saya yang sudah sampai di Sungai Buloh segera berpatah balik dan bergegas ke Hospital Tanjong Karang selepas dimaklumkan mereka dibawa ke sana.

"Tidak lama selepas kami sampai, pihak hospital memaklumkan suami adik meninggal dunia," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya, hari ini.

Muhd Aiman berkata, Norsyam Nasullah yang dikenalinya selepas bertunang dengan Aini Hayati tahun ini seorang yang pemalu tetapi baik dan peramah.

"Saya terkejut dengan kejadian menimpa mereka tetapi sudah ketentuan Allah SWT.

"Jenazah dimandikan dan dikafankan di Hospital Tanjong Karang sebelum dibawa pulang ke rumah keluarganya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

"Adik pula dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, dalam kejadian jam 10.50 malam tadi, pasangan pengantin baru itu menaiki Perodua Bezza sebelum terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain, Nissan Almera dan Honda City.

Menurutnya, mangsa yang memandu Perodua Bezza meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Pemandu Honda City yang juga wanita berusia 30-an patah kaki kanan manakala pemandu Nissan Almera berusia 50-an hanya cedera ringan.

"Siasatan mendapati pemandu Perodua Bezza dari arah Klang ke Teluk Intan dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan Honda City.

"Akibat pelanggaran itu, Perodua Bezza terbalik dan masuk ke lorong kanan jalan.

"Pada masa sama, Nissan Almera gagal mengelak lalu melanggar sisi kanan kereta terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, pelanggaran itu juga mengakibatkan Perodua Bezza terseret sejauh 11 meter dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 4:51 PM