Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan RM10 juta denda dan dua kali sebatan selepas didapati bersalah terhadap empat tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid memerintahkan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dijatuhi hukuman penjara empat tahun sekiranya gagal membayar denda.

Bagaimanapun, hakim turut membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan hukuman penjara sementara rayuan dikemukakan dan mengarahkan syarat jaminan dikekalkan.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu kelihatan tenang, sejurus mendengar hukuman dijatuhkan terhadapnya oleh Azhar.

Terdahulu ketika membacakan hukuman itu, mahkamah memutuskan pemimpin itu bersalah selepas mendengar 29 saksi pendakwaan dan tertuduh sendiri yang memberi keterangan bersumpah dan empat saksi pembelaan yang dikemukakan.

"Mahkamah ini memberikan pertimbangan di tahap maksimum terhadap keseluruhan keterangan, sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang.

"Pembelaan yang dikemukakan oleh tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah di dalam kes pendakwaan bagi empat pertuduhan dan mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melepasi keraguan munasabah bagi kesemua pertuduhan.

"Oleh itu tertuduh didapati bersalah bagi keempat-empat pertuduhan," katanya.

SYED Saddiq hadir bersama ibu bapanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Fathil Asri
SYED Saddiq hadir bersama ibu bapanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Fathil Asri

Syed Saddiq, 31, didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang adalah hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bersama Mohd 'Afif Ali manakala peguam Gobind Singh Deo dan Haijan Omar mewakili Syed Saddiq.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 11:42 AM