PASUKAN pemuzik yang bersama dengannya dalam Gendang Pati Live in Kuala Lumpur. - FOTO Genes Gulitah
PASUKAN pemuzik yang bersama dengannya dalam Gendang Pati Live in Kuala Lumpur. - FOTO Genes Gulitah
M NASIR sudah 44 tahun aktif dalam industri seni. - FOTO Genes Gulitah
M NASIR sudah 44 tahun aktif dalam industri seni. - FOTO Genes Gulitah
AKUI perasaan gementar dan gugup perkara biasa dihadapinya.
AKUI perasaan gementar dan gugup perkara biasa dihadapinya.
Norhayati Nordin


Tempoh 44 tahun terus bertahan dalam arena muzik tanah air bukan jangka masa pendek dan mudah. Namun, komposer dan penghibur legenda, Datuk M Nasir, 66, membuktikannya.

Banyak karya lagu dendangannya malar segar dan diminati pendengar tidak kira bangsa dan peringkat usia sehingga kini, termasuk gelaran 'sifu' yang masih kukuh dalam genggaman.

Perjuangan muzik M Nasir yang mungkin ada pasang surutnya, namun tidak pernah sepi. Apatah lagi, pelbagai anugerah sudah dimenangi figura hebat ini, selain tiket konsertnya sentiasa laris di pasaran.

Bagi penggemar M Nasir, beliau akan muncul dengan Gendang Pati Live In Kuala Lumpur yang bakal berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 18 November ini.

M Nasir ketika ditemui berkata, beliau teruja menghiburkan penggemar muziknya dengan persembahan unik dan memperkasakan alat muzik tradisional iaitu gendang sebagai instrumen utama yang mengiringi nyanyiannya.

"Sebelum ini, saya dan pasukan yang terdiri daripada pemuzik berpengalaman berjaya mengadakan Konsert Gendang Pati di Singapura pada Julai lalu dengan sambutan baik dan hangat daripada penonton tidak kira usia.

"Terus-terang, saya tak sangka ramai penggemar muzik masa kini dalam kalangan orang muda juga sukakan persembahan nyanyian menggunakan instrumen gendang yang rancak dan amat menghiburkan.

"Kepelbagaian bunyi gendang yang unik itu turut memberi semangat positif, menggembirakan hati dan terapi diri menerusi muzik. Jadi, saya lihat usaha dilakukan ini berbaloi sekali gus impian terpendam sudah menjadi kenyataan," katanya.

M Nasir yakin Gendang Pati Live In Kuala Lumpur akan diterima baik penggemar kerana persembahan dijangka lebih bertenaga.

"Idea mengadakan konsert yang memberi tumpuan pada bunyi dan gendang ini lahir secara spontan pada sesi latihan bersama pemuzik, yang mana kami berkongsi keinginan sama mengadakan konsert diiringi pelbagai jenis gendang.

"Ditambah lagi, 'mood' menyelitkan idea gendang ini sentiasa ada setiap kali kami merancang membuat album baru, namun tak pernah diteruskan dan hanya sekadar impian. Alhamdulillah impian itu kini dimakbulkan Allah.

"Saya juga tidak sangka apabila melihat pendengar muzik masa kini sebenarnya sangat sukakan dikir barat, walaupun ia didendangkan dalam dialek Kelantan. Namun, inilah muzik yang menyatukan rasa kita semua," katanya.

Bakal membuat persembahan selama dua jam, M Nasir berkata, lebih 20 lagu akan dinyanyikannya nanti dengan diiringi pelbagai jenis gendang seperti gendang ibu, anak, rebana, kompang, meruas, tabla dan banyak lagi.

Memilih untuk merahsiakan pilihan lagu-lagu akan dinyanyikannya, M Nasir memaklumkan seramai 16 pemuzik berkaliber tanah air akan turut serta dalam Gendang Pati Live In Kuala Lumpur itu.

Antara barisan pemuzik handalan terbabit ialah pemain gitar merangkap pengarah muzik, Nan Alias, Rafi Mohd (gitar), Norman (bass), Firdaus Mahmud (keyboard), Eddie Slam (keyboard) dan Ujang Exists (dram) serta penyanyi latar, Eja, Widy, Yuaz dan Awe.

Tidak hanya itu, ia turut diperkuatkan dengan kehadiran pemain perkusi seperti Paang, Mat Din, Che Long dan Anas serta dibantu Awe selaku pemain perkusi, rebab, serunai dan penyanyi jemputan.

Ditanya juga mengenai perasaan gemuruh dan gementar ketika membuat persembahan, M Nasir berkata, itu perkara biasa kerana lumrah manusia yang tidak sempurna serta mempunyai emosi diri.

"Perasaan gugup ini kadang-kala timbul disebabkan pengaruh orang sekeliling juga yang buatkan saya berasa gementar. Bagi saya, gugup adalah perasaan semula jadi bila nak menghadap sesuatu yang kita tak tahu apa akan berlaku.

"Bukan setakat nak menyanyi di konsert, ketika rakaman lagu pun saya turut berdepan perasaan sama (gugup) walaupun ketika sesi (rakaman) itu hanya dikelilingi oleh kawan-kawan saja," katanya.

Menurut M Nasir, beliau bagaimanapun ada cara tersendiri untuk mengatasi rasa gementar dan gugup itu dengan memastikan dirinya sudah betul-betul menghafal setiap lagu dan berlatih dengan sebaiknya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 6:00 AM