PEKIN gembira bjntangi filem Gemencheh Boys.
PEKIN gembira bjntangi filem Gemencheh Boys.
Norhayati Nordin


PEKIN Ibrahim antara pelakon yang bakatnya sudah terbukti di mata penonton.

Sama ada membintangi telefilem atau filem, namanya juga sering menjadi perhatian dengan tahap lakonan berkesan yang tidak menghampakan.

Kini, Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim, 42, bakal muncul dengan filem Gemencheh Boys di pawagam mulai 26 Oktober ini yang mengangkat kisah atlet kriket kebangsaan, Shafiq Sharif bersama lima rakan baik serta gurunya, Cikgu Azman.

Menggalas watak Cikgu Azman itu, Pekin berkata, ia cabaran cukup besar baginya, selain perlu bekerjasama dengan enam pelakon muda yang tiada pengalaman iaitu Aqil Yaya, 16, sebagai Shafiq, Syed Ahmad, 16, (Rashid Ahad), Ayiet Harith, 16, (Fauzi Ariffin), Kimi Norais,16, (Amin Ramly) Amir, Izzue Deen,15 (Sukri Tasip), dan Amir Kuziq, 16, (Azad).

"Penggambaran dibuat pada 2019 lalu ketika mereka berusia antara 11 dan 12 tahun serta berasal dari Gemencheh. Kesemua mereka adalah anak muda Felda sejati yang membesar di kawasan kampung dengan pelbagai aktiviti.

"Sebab itu, untuk memastikan mereka juga tidak terlalu bermain-baik di set penggambaran, saya perlu nampak garang. Apatah lagi, lakonan mereka amat semula jadi dan saya harus bijak mengimbanginya.

"Ini penting kerana saya tak boleh macam berlakon dengan mereka sebab mungkin tak akan rasa apa yang cuba disampaikan berikutan masing-masing tiada pengalaman sebagai pelakon langsung.

"Jadi, bagi mendapatkan rasa lakonan sebenarnya itu saya kena buat betul-betul. Contohnya, kalau marah mesti marah yang boleh buat mereka rasa takut dan syukurlah kesemua enam orang ini memang bagus dan cepat faham," katanya.

Menurut Pekin, dia juga melihat potensi besar yang ada dalam diri beberapa remaja terbabit sekiranya terus mendapat peluang bergerak aktif dalam karier lakonan, terutama Aqil yang melakonkan watak Shafiq itu.

"Kalau untuk Festival Filem Malaysia (FFM) bagi kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, mereka berenam pada saya semuanya layak terpilih. Tapi, kalau nak pilih seorang saja, saya memilih Ayya sebab dia ada suatu aura.

"Saya tengok lakonan Ayya, dia memang agak bagus walaupun tiada pengalaman dan tidak pernah berlakon pun sebelum membintangi Gemencheh Boys. Bagi saya, mudah juga bekerja dengannya (Ayya) kerana kami senang membentuk 'chemistry'," katanya.

Pekin berkata, remaja terbabit turut mendapat bimbingan lakonan daripada pelakon senior, Datuk Fauziah Nawi yang melatih mereka dengan tahap kesabaran tinggi dan hasil ditunjukkan begitu membanggakan.

Terdahulu, Pekin hadir menyaksikan tayangan gala filem Gemencheh Boys, di sini, baru-baru ini yang memaparkan kisah masa kecil lima atlet kriket negara iaitu Shafiq, Rashid, Fauzi, Amin dan Sukri yang membesar bersama.

Selain anak jati Kelantan ini yang berani mencabar dirinya membawa watak lelaki kelahiran Negeri Sembilan, pelakon berpengalaman lain yang beraksi dalam Gemencheh Boy ialah Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Farah Ahmad dan Ida Moin.

Kagum pada Cikgu Azman

Hiba melihat kejayaan seorang guru yang amat disanjung tinggi oleh anak muridnya yang sudah berjaya, di arena sukan hingga ke peringkat antarabangsa, Pekin mengakui Cikgu Azman adalah individu berhati cekal dan gigih berjuang.

"Demi melihat anak muridnya berjaya dalam kehidupan apabila dewasa, Cikgu Azman sangat bersungguh-sungguh untuk memastikan kumpulan pelajar dikenali 'Enam Jahanam' itu menyertai sukan kriket.

"Walaupun mereka mulanya tidak berminat langsung dengan sukan kriket, tapi akhirnya boleh jatuh cinta kerana sokongan padu daripada Cikgu Azman yang sanggup membuat apa saja demi memenuhi impian anak muridnya.

"Malah, Cikgu Azman sebenarnya tidak tahu langsung mengenai sukan kriket tapi dia sanggup menggalas tugas jurulatih demi melihat anak muridnya berjaya. Jadi, saya dapati pengorbanan seorang guru itu amat besar," katanya.

Menurut Pekin, dia juga terharu melihat cara Shafiq menyanjung tinggi gurunya yang banyak berjasa dengan menghadiahkan medal kemenangan di atas podium yang tidak pernah disangka langsung oleh Cikgu Azman akan menaikinya.

"Selain itu, Shafiq juga banyak membeli cenderahati untuk Cikgu Azman sekiranya ke luar negara. Begitu juga, anak murid yang lain sama-sama akan membelikan barangan kenangan untuk guru kesayangan mereka itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 6:00 AM