REDZA sebagai watak Nuh dalam drama Luruhnya Bunga Cinta.
REDZA sebagai watak Nuh dalam drama Luruhnya Bunga Cinta.
Norhayati Nordin


KALAU dilihat pada rekod drama dibintangi Redza Rosli, 31, sejak aktif berlakon pada 2013 hingga sekarang, boleh dikatakan kebanyakan produk lakonannya itu ditayangkan di TV3.

Malah, dalam tempoh tiga tahun ini saja, tujuh drama lakonannya ditayangkan di TV3 seperti Tak Sempurna Mencintaimu, Kekasih Hati Mr Bodyguard pada 2021, diikuti Bisik-Bisik Gelora, Hati Tanpa Rasa (2022) serta Kerasnya Takdir, Aku Yang Kau Sakiti, Luruhnya Bunga Cinta (2023).

Apakah kini Redza boleh dianggap sebagai 'anak emas' TV3 kerana sering tampil sebagai hero dalam drama yang ditayangkan stesen televisyen popular itu?

Pastinya, pemuda dari Subang Jaya, Selangor ini ada jawapan tersendiri.

Redza ketika ditemui berkata, dia tidak kisah dengan tanggapan yang dilemparkan kepadanya itu kerana apa yang menjadi keutamaan sebagai pelakon adalah mahu menghasilkan karya drama berkualiti.

"Nak kata apa, termasuk labelkan saya 'anak emas' sekalipun, itu terpulang. Saya tak ambil kisah langsung apabila mungkin ada pihak yang mengaitkan saya sebagai 'anak emas TV3' kerana realitinya saya memilih hanya yang terbaik.

"Saya ada juga menerima tawaran berlakon daripada stesen TV lain, namun perkara yang biasa saya akan lihat dulu pada karya berkenaan ialah nilai kebaikan yang boleh mengeluarkan saya dari zon selesa.

"Selain itu, saya turut meneliti apa yang boleh saya berikan lagi dalam lakonan itu. Jadi, secara tidak langsung mana yang saya fikir naskhah terbaik, itulah tawaran yang akan saya terima.

"Kadang-kadang, ada tiga hingga empat drama yang ditawarkan oleh TV3, namun saya selesa memilih mana yang terbaik dari segi jalan cerita, termasuk nilai murni kepada penonton dan masyarakat," katanya.

Mengulas juga dirinya yang dikatakan bersikap terlalu memilih karya, Redza atau nama sebenarnya, Ahmad Redza Rosli mengakui perkara itu kerana dia berasa agak tertekan sering disogok dengan karya drama yang jalan cerita sama.

"Bagi saya, tindakan memilih itu perlu ada juga sebabnya kadang-kadang saya masih lagi terima drama cerita cinta yang pengkisahannya sama dan pernah dilakonkan sebelum itu.

"Justeru, tak dinafikan ia agak membuat saya berasa tertekan sebenarnya. Ini kerana, apa yang penting saya perlu ikhlas dan buat persiapan diri dengan banyak bertanya kepada orang lain serta jangan takut.

"Sebagai contoh, saya pernah buat babak atau dialog tertentu dalam drama terdahulu, namun diminta lagi oleh pengarah untuk melakukannya dan kadang-kadang saya jadi mati akal nak cuba kreatif macam mana lagi," katanya.

Menurut Redza, atas sebab itu dia agak memilih untuk mengelakkan risiko tekanan pada dirinya dan jauh sekali sudah sombong atau meninggi diri yang setakat ini belum ada dalam kamus hidupnya.

Teruja lakon watak Nuh

Kini muncul dengan drama terbaharu, Luruhnya Bunga Cinta di slot Akasia TV3, jam 7 malam, Redza berkata, dia gembira dipilih melakonkan watak Nuh kerana karya itu diadaptasi daripada siri popular Korea Selatan, Autumn In My Heart pada 2000.

"Watak Nuh ini adalah watak Yoon Joon-suh yang dilakonkan Song Seung-heon. Ia watak mencabar bagi saya kerana perlu bermain emosi dan amat teruja melakonkannya.

"Apapun, saya tak nafikan watak ini (Nuh) sedikit sebanyak turut memberi tekanan apabila memikirkan jangkaan penonton mungkin tinggi kerana Autumn In My Heart pun pernah mencetus fenomena di Malaysia dulu," katanya.

Menurut Redza, apa yang pasti aspek lakonan dibawakan dalam drama Luruhnya Bunga Cinta masih berpaksikan kemelayuan dengan mengikut kesesuaian budaya masyarakat di negara ini.

"Skrip adaptasi dihasilkan juga tidaklah mengikut sepenuhnya cerita asal. Bahkan, ada babak yang perlu ikut, kami buat dan mana tidak sesuai, ia ditukar selepas perbincangan.

"Cuma, drama ini (Autumn In My Heart) juga sudah dihasilkan secara adaptasi di enam negara lain. Namun, saya percaya jalan cerita pada pembikinan adaptasi Malaysia sesuai dengan penonton kita," katanya.

Selain Redza, drama 20 episod arahan Riza Baharudin ini juga dibintangi pelakon lain seperti Tracie Sinidol, Nabila Razali, Aniq Durar, Bella Luna, Zila Bakarin, Raja Azmi, Laila Nasir dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 6:00 AM