PAN-GON (kanan) bersama barisan kejurulatihan dan pemain simpanan skuad Harimau Malaya ketika perlawanan persahabatan antarabangsa menentang China, Sabtu lalu. FOTO FB FAM
PAN-GON (kanan) bersama barisan kejurulatihan dan pemain simpanan skuad Harimau Malaya ketika perlawanan persahabatan antarabangsa menentang China, Sabtu lalu. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kedudukan pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon dijangka tidak tergugat apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) nyata gembira dengan prestasi semasa pasukan kebangsaan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, badan induk itu jelas berpuas hati dengan prestasi pasukan negara yang mula menunjukkan petanda kebangkitan sejak dibimbing jurulatih dari Korea Selatan itu.

"Kami memang berpuas hati dengan Pan-gon dan barisan kejurulatihannya yang berjaya memberi keputusan baik sepanjang di bawah kendaliannya.

"Rasanya tak ada masalah (kekalkan khidmat Pan-gon) dan semuanya dibuat berdasarkan keputusan pasukan negara.

"Kami dapat lihat ada peningkatan dan beberapa keputusan dicatatkan amat baik," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Semalam, akhbar ini melaporkan perubahan besar yang dibawa Pan-gon sejak mengambil alih pasukan pada Februari 2022 perlu diberi perhatian oleh FAM termasuk menawarkan lanjutan kontrak kepada jurulatih itu.

Kejayaan layak secara merit ke Piala Asia di Qatar pada Januari depan serta memacu peningkatan ranking dengan hampir mengejutkan dua pasukan di kedudukan 100 dunia terbaik iaitu China dan Syria adalah bukti perubahan pasukan negara ketika ini.

Pan-gon, 54, sebelum ini mengikat kontrak selama dua tahun dengan pilihan lanjutan dua tahun lagi dan kontraknya dijangka berakhir pada Februari atau Mac tahun depan.

Namun dengan segala usaha dibawa Pan-gon, sudah tiba masanya FAM melanjutkan lagi tempoh berkenaan dengan cuba meletakkan sasaran baharu bersaing merebut slot ke Piala Dunia 2026 yang bakal berlangsung di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat nanti.

Malah, lapan slot yang diberikan kepada benua Asia itu harus diambil kesempatan bagi menetapkan hala tuju baharu yang secara tidak langsung bakal mengubah dimensi, budaya dan mentaliti dalam ekosistem bola sepak di Malaysia untuk menghala ke Piala Dunia.

Ujar Noor Azman, kecemerlangan dalam dua aksi persahabatan di Chengdu, China diharap dapat dikekalkan hingga ke Piala Asia tahun depan.

"Kami memang gembira dengan persembahan pasukan ketika ini. Bukan mudah nak menentang China yang berada di ranking 80 dunia, begitu juga Syria yang berada di tangga 94.

"Malah, perlawanan persahabatan di sana adalah sebahagian persiapan ke Piala Asia.

"Keputusan dua aksi persahabatan di Chengdu saya anggap cukup baik dan saya harap kami dapat kekalkan prestasi ini hingga ke Piala Asia di Qatar tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 2:14 PM