Muhd Izawan Baharin dan Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Tekanan melampau daripada keluarga sejak kecil mengakibatkan seorang wanita hidup dalam keadaan kemurungan, hilang harapan dan kesedihan berpanjangan hingga pernah cuba menamatkan riwayat sendiri lebih 10 kali.

Namun sekarang kitaran hidup Roselle Lu Sook Hui, 26, berubah sama sekali, daripada seorang yang sentiasa dibelenggu kesedihan dan kebimbangan kini menggunakan pengalaman itu untuk membantu mereka berdepan masalah sama.

Roselle yang kini menjalankan khidmat Perunding Kehidupan sudah membantu 50 wanita sejak dua tahun lalu terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan profesional untuk mendepani tekanan dan dapat hidup lebih bahagia.

Dia mengakui menghadapi tekanan sejak kecil akibat didikan ibu bapa yang mahukan kesempurnaan bermula daripada pencapaian akademik hingga penjagaan kulit menyebabkan dia mengalami depresi dan beberapa kali cuba membunuh diri.

Menurutnya, dia sering menjadi sasaran ibunya yang memberi tekanan emosi dengan alasan dia sebagai anak sulung perlu memikul tanggungjawab sebagai kakak dan menjadi contoh terbaik kepada adik perempuannya.

"Sejak berusia 12 tahun, saya kerap cederakan diri, malah banyak kali terlintas untuk tamatkan riwayat sendiri kerana tertekan dengan ketegasan ibu.

"Ibu sering bandingkan saya dengan adik, ahli keluarga lain atau rakan sehingga saya dibebani rasa bersalah jika tidak dapat penuhi harapan atau jangkaannya. Saya pernah cuba mengadu dan meluahkan apa yang dirasa tetapi tidak dipedulikan ibu.

"Bermula dari sekolah rendah, semasa di kolej hingga ke tempat kerja, saya dibebani harapan mahu kesempurnaan hingga rosakkan fizikal dan mental," katanya.

ROSELLE kini menjalankan khidmat Perunding Kehidupan sudah membantu 50 wanita sejak dua tahun lalu. FOTO Nabila Adlina Azahari
ROSELLE kini menjalankan khidmat Perunding Kehidupan sudah membantu 50 wanita sejak dua tahun lalu. FOTO Nabila Adlina Azahari

Menurutnya, semasa bekerja di sebuah syarikat jualan, dia sanggup bekerja hingga tengah malam, tidur sekejap dan masuk ke pejabat awal pagi esoknya demi memastikan menjadi pekerja terbaik.

"Namun saya sentiasa rasa gagal memenuhi jangkaan itu. Perasaan sedih, dan rasa gagal memenuhi fikiran saya hingga kemuncaknya saya capai pisau dan cuba menamatkan nyawa.

"Namun dengan tangan masih memegang pisau, saya baring di katil dan merenung siling. Di situ saya terfikir apa tujuan hidup saya, adakah sekadar mahu menggembirakan orang lain dengan mengorbankan diri sendiri. Saya pasti Tuhan memberi isyarat kepada saya ketika itu. Saya rasa seolah-olah dipeluk dan mengatakan pada diri sendiri, tidak mengapa untuk merasa kalah dan menerima diri dalam apa jua keadaan," katanya.

Bermula dari situ, Roselle berkata, dia nekad berubah namun cabarannya bukan mudah kerana dia masih dikelilingi anggota keluarga dan rakan yang sama.

"Saya ambil tindakan drastik putuskan hubungan dengan keluarga selama setahun. Dalam tempoh itu, saya berhenti kerja dan mendapatkan bantuan pakar," katanya.

Menurutnya, dia kembali berhubung dengan keluarga dan mampu berkomunikasi hati ke hati dengan ibunya mengenai apa yang dialaminya selama ini.

"Bermula 2021, saya dan suami gunakan platform Instagram untuk membantu mereka yang berdepan masalah sama.

"Berdasarkan pengalaman saya, ada beberapa faktor dapat membina jati diri mendepani pelbagai isu. Pertama kenali diri sendiri serta kenal pasti peranan kita kepada diri sendiri dan orang sekeliling.

"Kedua belajar sayangi diri dan utamakan diri terlebih dulu.

"Akhir sekali ada kalanya kita tak mampu melakukan perubahan tanpa sokongan atau bantuan pihak lain," katanya.

ROSELLE pernah cuba beberapa kali menamatkan riwayat sendiri. FOTO Nabila Adlina Azahari
ROSELLE pernah cuba beberapa kali menamatkan riwayat sendiri. FOTO Nabila Adlina Azahari

Ada faktor kompleks berbeza

Pemikiran untuk menamatkan nyawa sendiri boleh terjadi disebabkan faktor kompleks dan bervariasi daripada individu ke individu.

Selain kecewa, marah, dan hiba, ada beberapa keadaan atau faktor lain dapat menyebabkan seseorang mempertimbangkan untuk bunuh diri.

Sukarelawan Program Komuniti Sosial Masyarakat Bandar (Scopurs Malaysia) yang terbabit dengan aktiviti kesihatan mental, Dr Firdaus Hilmi Nadzri berkata, ketika seseorang mencapai tahap rasa ingin mengambil nyawa sendiri, itu hasil pelbagai faktor kompleks antaranya gangguan mental seperti depresi, kecemasan, bipolar, atau skizofrenia yang berpotensi meningkatkan risiko pemikiran bunuh diri.

"Ia juga berlaku akibat isolasi sosial yang mana ketika seseorang merasa terisolasi, kesepian, atau tiada sokongan sosial yang mencukupi, perasaan putus asa akan meningkat.

"Stres berlanjutan, tekanan, atau situasi kehidupan sulit turut memicu pemikiran bunuh diri selain pengalaman trauma atau kenangan buruk masa lalu," katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Universiti Kuala Lumpur Business School, Quill City Mall berkata, kesulitan kewangan sering kali dapat memicu untuk bunuh diri.

"Penyalahgunaan dadah dan alkohol mempengaruhi kesihatan mental dan meningkatkan risiko pemikiran bunuh diri.

"Perasaan tidak bermakna atau beban pada orang lain juga memicu pemikiran sebegini.

"Setiap individu unik dan faktor ini berbeza di antara satu sama lain. Jika diri anda atau seseorang yang anda kenal mengalami pemikiran bunuh diri, penting untuk cari bantuan segera dari segi profesional atau sumber sokongan seperti Scopurs, Youngmind Malaysia, dan Acument Insight," katanya.

Beliau berkata, berita semasa mengenai bunuh diri selebriti atau artis terkenal juga menghasilkan impak yang kompleks.

"Kadang-kadang, pemberitaan semacam itu dapat memicu viral effect yang mana individu rentan akan merasa terdorong mengikuti 'contoh' yang mereka lihat. Ini sering disebut sebagai suicidal ideation effect atau contagious effect.

"Pemberitaan yang tidak berhati-hati terutama membabitkan selebriti dapat meningkatkan risiko viral effect.

"Oleh kerana itu, media dan platform sosial harus berhati-hati dalam melaporkan berita sebegini dan seboleh mungkin perlu menghindari sensasionalisme yang boleh memicu kesan negatif," katanya.

Tindakan awal bantu cegah kejadian buruk

Berikut tindakan awal boleh diambil jika kita mendapati seseorang itu murung dan cenderung mengambil tindakan di luar kawalan yang dikongsikan sukarelawan Program Komuniti Sosial Masyarakat Bandar (Scopurs Malaysia), Dr Firdaus Hilmi Nadzri.

Jika diri anda mendapati seseorang yang nampak murung atau cenderung mengambil tindakan di luar kawalan, tindakan awal yang dapat anda ambil termasuk:

1. Tunjukkan rasa empati: Dengarkan dengan sabar dan tunjukkan empati terhadap perasaan mereka. Cubalah untuk memahami apa kemungkinan yang membuat mereka merasa seperti itu.

2. Jangan biarkan mereka sendirian: Cubalah untuk tidak meninggalkan mereka sendirian, terutamanya jika anda merasa mereka ada potensi risiko bunuh diri. Tetap berada di samping mereka atau minta seseorang lain untuk melakukannya.

3. Ajukan pertanyaan terbuka: Anda boleh bertanya dengan lembut apakah mereka ingin berbicara mengenai apa yang mereka rasakan. Kadang-kadang, berbicara mengenai perasaan boleh membantu meredakan tekanan mereka.

4. Hindari memberi nasihat: Hindari memberikan nasihat atau solusi sebelum anda benar-benar memahami situasinya. Lebih baik mendengarkan terlebih dulu.

5. Sumber sokongan: Sarankan kepada mereka untuk mencari bantuan dari profesional kesihatan mental atau sumber sokongan lain seperti keluarga, teman, atau organisasi bantuan krisis seperti SCOPURS, Youngminds Malaysia dan Acumen Insight.

6. Jangan mentafsir perasaan mereka: Hindari mengatakan hal-hal seperti 'semua akan baik-baik saja' atau 'jangan terlalu risau' kerana hal ini boleh membuatkan mereka merasa rimas dan tidak faham situasi mereka.

Hal ini penting untuk diingatkan bahawa membantu orang yang mengalami krisis mental boleh menjadi tugas yang berat.

Jangan ragu untuk mencari bantuan tambahan dari profesional kesihatan mental atau layanan krisis jika diperlukan. Keselamatan dan kesejahteraan individu yang berisiko harus menjadi keutamaan.

Berita berkaitan

  • Jangan mudah hakimi mangsa
  • Tekanan maha berat!
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 1:03 PM