SILFENY lakon watak Detektif Fasha dalam drama Pemburu Rahsia.FOTO Rohanis Shukri
SILFENY lakon watak Detektif Fasha dalam drama Pemburu Rahsia.FOTO Rohanis Shukri
Norhayati Nordin


LIMA tahun aktif dalam karier lakonan sejak 2019, perjalanan dilalui Datin Silfeny Osman, 31, pada awal pembabitannya dalam usaha menjual bakat ternyata tidak mudah. Ini kerana, dia berhadapan situasi perbezaan warna kulit.

Bakal muncul dengan drama baharu, Pemburu Rahsia untuk slot Samarinda TV3, Silfeny berkata, insiden sedih itu tidak pernah dilupakan dan kekal dalam ingatannya sehingga kini. Ia tetap segar diingati.

"Ini kerana mungkin ia memori yang tidak gembira dan saya terkilan kerana pernah melaluinya. Ketika itu, saya menghadiri satu uji bakat lakonan kerana baru mula berlakon dan gigih mencari peluang tawaran.

"Jadi, saya dengan penuh semangat pergi mencuba nasib pada uji bakat itu. Saya lakonkan apa saja babak yang diminta pengarah uji bakat berkenaan dengan harapan bakat saya dapat dinilai.

"Saya memang okay dan berlapang hati kalau pengarah uji bakat itu kata lakonan yang saya buat tidak bagus. Sebabnya, saya faham masih baru berlakon dan perlu menimba banyak lagi pengalaman. Tapi, sayangnya bukan bakat yang dinilai," katanya.

Menurut Silfeny atau nama sebenarnya Silfeny Mohd Osman, dia terkejut apabila pengarah uji bakat itu lebih memberi perhatian dengan menilai kulitnya yang berwarna gelap. Ujarnya, ia membuatkan dia menjadi kesal.

"Saya dinilai menerusi warna kulit dan bukan bakat lakonan. Dia (pengarah uji bakat) kata kepada saya, industri hiburan kita sebenarnya tak nak orang yang berkulit gelap macam awak. Kita sekarang perlukan orang-orang yang berkulit seperti penyanyi K-Pop (Korea Pop).

"Jadi, awak kena buat sesuatu pada kulit dan selepas itu datang semula untuk uji bakat. Ketika itu saya terus berfikir maksudnya, dia suruh pergi putihkan kulit dulu kalau memang nak jadi pelakon.

"Malah, saya berfikir kriteria macam mana sebenarnya yang dapat membolehkan saya layak memasuki industri ini?. Tapi, Alhamdulillah saya dapat kawal perasaan dengan baik dan anggap tiada rezeki," katanya.

SILFENY kongsi pengalaman sedih dinilai kerana warna kulit dan bukan bakat. FOTO Rohanis Shukri
SILFENY kongsi pengalaman sedih dinilai kerana warna kulit dan bukan bakat. FOTO Rohanis Shukri

Silfeny berkata, dia selesa menyerahkan urusan rezekinya kepada ketentuan Allah. Ujarnya, dia menganggap warna kulit gelap hanya sebagai alasan untuk tawaran lakonan berkenaan bukan miliknya.

"Apapun, saya sangat yakin dan berpegang teguh bahawa rezeki itu daripada Allah. Tak apalah kalau rezeki berlakon saya tak ada dengan produksi terbabit. Rezeki ada di mana-mana dan saya perlu terus berusaha.

"Namun, saya tak nafikan insiden mengenai warna kulit itu amat terkesan di hati saya. Memang rasa sedih sebab kita tidak dinilai oleh mereka dari segi bakat, tapi paras rupa, penampilan dan warna kulit.

"Sebagai calon uji bakat, hasrat saya cuma nak tahu maklum balas mereka terhadap lakonan dibuat. Dapat atau tidak tawarannya, saya tak fikirkan pun.

"Tapi, jawapan yang saya dapat sebaliknya iaitu bakat lakonan tidak dipandang pun, kecuali warna kulit saya yang gelap. Apapun, saya mengaku amat berbangga dengan warna kulit saya," katanya.

Silfeny yang bernikah dengan lelaki pilihan, Datuk Hazian Murad pada Mac lalu selepas sembilan tahun berteman rapat berkata, dia masih mampu bergembira selepas insiden itu yang membuatkan dia lebih tabah dan kuat.

"Mujur saya tidak berasa rendah diri dan berfikir tidak boleh pergi jauh dalam industri ini kerana berkulit gelap. Sebaliknya, saya tanam tekad di hati tidak akan sesekali mengikut saranan pihak terbabit agar putihkan kulit kalau nak jadi pelakon.

"Bagi saya, ia satu permintaan melampau daripada produksi itu. Malah, tidak mengapa pun saya ditolak kerana dalam Malaysia ini masih ada banyak lagi produksi lain, penerbit dan pengarah yang mahu bekerjasama dengan saya apabila rezeki itu ada," katanya.

Bersikap ramah, tak sombong

Silfeny yang membintangi drama Pemburu Rahsia sebagai watak Detektif Fasha mengakui dia baru pertama kalimendapat peluang melakonkan karakter lasak dan perlu membuat babak aksi seperti berlawan dengan musuh.

Ujarnya, dia seronok kerana bekerjasama dengan pelakon lain seperti Adam Lee dan Haliza Misbun dalam drama itu. Malah, diarahkan oleh Feroz Kader sebanyak 13 episod.

"Walaupun saya berlakon dengan selebriti lebih yang dikenali ramai seperti Adam Lee dan Haliza. Tapi, Alhamdulillah kami boleh serasi bekerjasama. Bagi saya, kuncinya kena pandai bawa diri, buat orang selesa dan tenang dengan kita.

"Tak perlu nak sombong atau berlagak. Walaupun kita datang ke set penggambaran sebagai pelakon baharu, tak apa asalkan pandai bertegur dan ramah dengan orang. Apatah lagi, saya suka ketawa.

"Sejak bekerja sebagai pramugari dengan MAS dulu, saya memang dah biasa melayan penumpang dengan ceria. Jadi, walaupun kerjaya saya sekarang sebagai pelakon, saya tetap selesa menjadi diri sendiri, ceria dan penuh dengan aura positif," katanya.

Silfeny menceburi lakonan selepas dia menyertai pertandingan Gadis Panca pada 2017 lalu. Antara drama lakonannya ialah Bidadari Salju, Pengantin Tiga Malam, Kerana Aku Isteri Bidaan, 7 Hari Mencintaiku 3, Ada Apa Dengan Saka dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 7:00 AM