Amir Hamzah Nordin


Jerantut: Warga emas maut manakala empat termasuk bayi berusia lima bulan parah dalam kemalangan di KM 12 Jalan Jerantut-Maran (Sungai Salan), di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, mangsa berusia 83 tahun yang juga penumpang hadapan kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, siasatan mendapati MPV dipandu seorang wanita berusia 25 tahun bersama empat yang lain dipercayai sekeluarga dari Felda Gelanggi Satu dekat sini, cedera parah.

TANGKAP layar video tular kemalangan membabitkan Proton Exora menyebabkan warga emas maut, empat lagi parah.
TANGKAP layar video tular kemalangan membabitkan Proton Exora menyebabkan warga emas maut, empat lagi parah.

"Tiba di tempat kejadian, pemandu MPV dipercayai gagal memotong sebuah kenderaan di hadapannya menyebabkannya bertembung dengan lori Isuzu.

"Akibat kemalangan, MPV hangus terbakar, dan semua mangsa berjaya dibawa keluar oleh orang awam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, semua mangsa yang parah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Jerantut dan sedang dirawat di zon merah serta dilaporkan kritikal.

"Kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 6:40 PM