LOKASI kejadian kes bunuh di Flat Purnama.
LOKASI kejadian kes bunuh di Flat Purnama.
Nurul Hidayah Bahaudin dan Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Bentong: Polis menemukan mayat seorang lelaki dengan beberapa kecederaan pada bahagian badan dan kesan terbakar di rumahnya di Flat Purnama, di sini, Ahad lalu.

Difahamkan, anak lelaki mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran turut berada di sisi mayat bapanya ketika pihak berkuasa memasuki kediaman berkenaan.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan berhubung penemuan mayat lelaki berusia 64 tahun terbabit kira-kira jam 11 pagi.

"Berdasarkan maklumat awal, lelaki itu ditemui terbaring di atas lantai dalam rumah berkenaan dengan beberapa kecederaan di bahagian badan termasuk kesan terbakar.

"Siasatan juga mendapati isteri mangsa berusia 61 tahun bersama anak keduanya iaitu seorang lelaki berusia 28 tahun berada di Kuala Lumpur atas urusan perubatan di sebuah hospital sejak 19 Jun lalu.

"Mangsa ditinggalkan bersama anak bongsu lelakinya berusia 22 tahun yang memiliki kad OKU (masalah pembelajaran) di rumah mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaiham berkata, anak lelaki mangsa kini direman tujuh hari bermula kelmarin untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Kami masih menyiasat mengenai aktiviti yang dilakukan 'suspek' sepanjang tempoh dia berada di rumah berkenaan (bersama) mayat mangsa (bapanya).

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk proses bedah siasat," katanya .

Beliau memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.10 petang Ahad lalu daripada pihak polis untuk mengambil mayat mangsa.

Menurutnya, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati terdapat kesan kebakaran pada kain yang menutup mayat mangsa.

"Kami memohon bantuan pasukan penyiasatan kebakaran untuk menjalankan siasatan kerana terdapat kebakaran di lokasi kejadian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 8:10 PM