GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Bentong: Polis sedang mengesan dua lelaki yang disyaki terbabit tiga kejadian ragut di daerah ini, membabitkan kerugian lebih RM14,000.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima tiga laporan polis kes ragut yang berlaku antara semalam dan hari ini.

"Hasil rakaman percakapan pengadu dan siasatan awal dilakukan mendapati suspek dua lelaki berusia lingkungan 20-an dan 30-an yang menaiki motosikal.

"Suspek memakai jaket hitam dan berseluar jeans serta memakai topi keledar penutup penuh. Suspek meragut rantai leher mangsa dengan keseluruhan kerugian dianggarkan RM14,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan kejadian itu, Zaiham berkata, polis menubuhkan pasukan khas bagi mengesan kedua-dua suspek terbabit termasuk meningkatkan rondaan dan pemeriksaan di sekitar daerah.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 392 dan 394 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta kerjasama orang awam yang mengesan individu atau kenderaan mencurigakan di kawasan perumahan supaya menghubungi Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 7:45 PM