Zaara Talita


Subang Jaya: "Saya berada di sisi mama dari awal sehinggalah semuanya berakhir. Malah, saya juga di sisinya ketika dia menghembuskan nafas terakhir," katanya penyanyi dan pelakon, Kilafairy yang reda dengan pemergian ibunya, Rohana Jalil, malam tadi.

Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisa Jahangir Khan ketika ditemui berkata, dia bersyukur dapat melaksanakan tugas sebagai anak dengan memandikan jenazah dan menyempurnakan pengebumian ibunya.

"Alhamdulillah, mama pergi dalam keadaan baik dan semuanya dipermudahkan. Malah, mama juga pergi dalam keadaan seolah-olah tersenyum.

"Semestinya saya bersedih dengan pemergian mama, namun hasil didikan ibu bapa, saya reda dengan suratan dan ketentuan Allah SWT," katanya ketika ditemui di upacara pengebumian Rohana di Tanah Perkuburan Islam USJ22, di sini, hari ini.

Kilafairy berkata, pengalaman berada di sisi Allahyarham hingga dia menghembuskan nafas terakhir dan memandikan jenazah sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

"Mungkin itu juga yang membuatkan saya lebih tenang berdepan ujian ini," katanya.

Namun, menurut Kilafairy, pemergian ibunya itu juga pasti meninggalkan kesan mendalam buat dirinya. Apatah lagi, dia sememangnya rapat dengan ibunya.

"Saya belum mendirikan rumah tangga dan tinggal bersama ibu bapa. Semestinya saya rapat dengan mereka. Banyak detik indah yang dikongsikan bersama mereka.

"Masakan mama adalah perkara yang paling saya rindui. Antaranya lontong, laksa Johor dan banyak lagi," katanya.

Dalam pada itu, Kilafairy berkata, dia juga belum bersedia untuk memuat naik sebarang perkongsian di media sosial berhubung pemergian ibunya.

"Bukan sekarang, mungkin dalam dua tiga hari lagi. Saya begitu terharu dengan kata-kata positif yang diberikan semua pihak.

"Saya juga tak sangka ramai datang memberikan penghormatan terakhir buat arwah mama. Saya sedia maklum, arwah juga memang mempunyai hubungan yang baik dengan rakan-rakan media," katanya.

Jenazah Rohana selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, di sini, jam 11.45 pagi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 1:37 PM