Oleh Muhamamd Zulsyamini Sufian Suri


"MAK pergi dulu," demikian ungkapan terakhir Rusnah Othman, 60, kepada anak keenamnya, Mohd Fitri Mohd Fazil, 26, sebelum maut selepas kereta dinaiki terbabas dan terhumban ke parit di Kilometer 119.2 Lebuhraya Utara Selatan dekat Kepala Batas, malam tadi.

Dalam kemalangan jam 10.45 malam itu, Rusnah maut bersama anak bongsunya, Muhammad Ruszamil Mohd Fazil, 20, yang memandu Proton Exora dinaiki mereka lima sekeluarga.

Mohd Fitri berkata, ungkapan itu diucapkan arwah ibunya itu menerusi perbualan telefon sejurus sebelum bertolak dari Taiping kira-kira jam 8.50 malam semalam untuk menziarahi datuknya yang sakit di Sungai Petani.

Katanya, sebelum bertolak, arwah emak dan adik bongsunya bersama dua lagi abangnya, Mohd Fairus Mohd Fazil, 36, dan Muhammad Faizul Mohd Fazil, 30, serta anak saudaranya, Muhammad Faizureen Abdul Muhaimin, 2, singgah sebentar di rumahnya di Taman Kaya.

Katanya, bagaimanapun tiada orang di rumahnya ketika itu memandangkan dia bersama isteri serta anaknya bermalam di rumah mentuanya di Kuala Kangsar disebabkan urusan kerja.

"Pagi itu (semalam) saya sempat berjumpa dengan emak untuk menolongnya membaiki bateri kereta. Ketika itu memang dia nyatakan yang dia akan ke Sungai Petani petang nanti (semalam) untuk menziarahi datuk dan sempat juga saya bersalaman dan mengucup pipinya pagi itu.

"Kira-kira jam 8.50 malam, mereka singgah sebentar di rumah saya tetapi saya tiada di rumah.

"Arwah menelefon bertanyakan mengapa saya sekeluarga tiada di rumah dan mengakhiri panggilan dengan berkata "emak pergi dulu," katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian dua beranak itu di Tanah Perkuburan Islam Sungai Mas di sini, 3.50 petang ini.

Mohd Fitri berkata, biarpun reda dengan ketentuan itu dia tidak menyangka ungkapan terbabit petanda ibu serta adik bongsunya bakal pergi buat selama-lamanya.

"Selain agak rapat dengan saya, arwah adik (Muhammad Ruszamil) juga memang sangat rapat dengan emak memandangkan kedudukannya sebagai anak bongsu.

"Arwah adik memang sangat rapat dan mengutamakan emak dalam banyak perkara, tidak sangka keakraban mereka semasa hidup membawa sampai akhir hayat apabila dikebumikan dalam kubur yang saling bersebelahan," katanya.

Katanya, manakala keadaan dua abang serta anak saudaranya yang turut terbabit dalam nahas itu kini semakin stabil.

Mohd Fitri berkata, nahas berlaku hanya beberapa hari selepas arwah emaknya pulang ke Taiping dari Sungai Petani untuk mengambil keperluan perubatan datuknya, iaitu sesudah lebih sebulan menemani datuk serta emak saudaranya.

Mohd Fitri (tengah) melihat sanak-saudara menyiram air mawar ke kubur ibu serta adiknya di Tanah Perkuburan Islam Sungai Mas, Taiping, hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Mohd Fitri (tengah) melihat sanak-saudara menyiram air mawar ke kubur ibu serta adiknya di Tanah Perkuburan Islam Sungai Mas, Taiping, hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 8:15 PM