ANGGOTA bomba melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan yang terbakar dalam kemalangan hari ini. FOTO Ihsan JPBM
ANGGOTA bomba melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan yang terbakar dalam kemalangan hari ini. FOTO Ihsan JPBM
Roselan Ab Malek


Temerloh: Dua rentung selepas pacuan empat roda dinaiki berlanggar dengan lori kontena sebelum terbakar di Kilometer 108.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Kampung Cempaka, di sini hari ini.

Kedua-dua mangsa yang jantinanya belum diketahui tersepit dalam Ford Ranger itu, manakala pemandu lori kontena yang membawa muatan alat ganti kenderaan terselamat.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan memaklum kejadian pada 5.24 pagi.

Katanya, tujuh anggota dan dua pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab dan BBP Bukit Angin dikerahkan ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, didapati berlaku kebakaran Ford Ranger dan lori kontena terbabit serta terdapat dua mangsa yang tersepit dan terbakar," katanya.

Zulfadli berkata, operasi pemadaman segera dilakukan sebelum mayat dikeluarkan daripada kenderaan itu.

"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 2:07 PM