Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seorang pengawal keselamatan dan seorang pelajar tahfiz lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mencederakan sehingga menyebabkan kematian kepada seorang lelaki, pada 29 Januari lalu.

Tertuduh, Mohamad Sabri Yusoff, 33, dan pelajar tahfiz berusia 17 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan mereka didakwa bersama-sama melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Mohd Syhakahalaf Akram Mohd Zakuwan, 28, dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematian kepada mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di Masjid Tok Guru Pulau Melaka, Kampung Pulau Melaka, jam 6.55 petang, pada 29 Januari 2023.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca dengan Seksyen 34 akta yang sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, manakala pesalah kanak-kanak boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 91 Akta Kanak-kanak 2001.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Zamri Mat Nawang.

Terdahulu, Siti Edabayu tidak menawarkan sebarang jaminan kepada Mohamad Sabri, manakala Zamri memohon anak guamnya dibenarkan jaminan.

Mahkamah membenarkan Mohamad Sabri dijamin sebanyak RM20,000 dan pelajar tahfiz pula RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan 19 Mac depan sebagai sebutan tarikh semula kes.

MOHAMAD Sabri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan sehingga menyebabkan kematian kepada seorang lelaki, pada 29 Januari lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHAMAD Sabri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan sehingga menyebabkan kematian kepada seorang lelaki, pada 29 Januari lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 11:57 AM