BUNGA tampil di Konsert BCL-Blossom Intimate yang berlangsung di Plenary Hall, KL Convention Centre.
BUNGA tampil di Konsert BCL-Blossom Intimate yang berlangsung di Plenary Hall, KL Convention Centre.
Syafil Syazwan Jefri


KEHILANGAN orang tersayang bukan detik termudah dalam hidup setiap manusia.

Benar, hakikatnya setiap yang kita miliki itu bukan hak milik kekal kita, tetapi milik Sang Pencipta.

Saat kita berada di detik terbahagia, di mana fasa itu mungkin berada di golongan paling atas dalam hidup kita, siapa sangka akan ada ujian yang begitu berat.

Bagi penyanyi Indonesia, Bunga Citra Lestari atau BCL, kehadirannya ke Malaysia yang dianggap seperti rumah kedua kali ini sangat berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Tampil di Konsert BCL-Blossom Intimate yang berlangsung di Plenary Hall, KL Convention Centre baru-baru ini, Bunga menuangkan segala perasaannya dalam lagu yang disampaikan.

Di pentas itu juga, Bunga turut berkongsi bagaimana pemergian suami yang juga pelakon Malaysia, Ashraf Sinclair menjadi tamparan hebat buatnya sebagai wanita.

"Malaysia adalah rumah kedua saya. Banyak kenangan tersendiri dan wajah yang saya kenali. Kali ini rasanya sangat berbeza dan ada rasa gementar untuk saya kembali ke Malaysia.

"Sesuatu yang amat dirindukan, tetapi sukar. Saya tak dapat nak jelaskan perasaan saya berada di sini," katanya.

Menurut Bunga, pemergian suami tercinta adalah satu ujian besar buatnya. Namun, dia perlu menerima hakikat bahawa itu adalah situasi yang perlu dijalani.

PERSEMBAHKAN hampir 20 lagu.
PERSEMBAHKAN hampir 20 lagu.

BUNGA mengimbau kenangan awal perkenalannya dengan Ashraf.
BUNGA mengimbau kenangan awal perkenalannya dengan Ashraf.

"Saya rasa sesuatu yang diberikan kepada saya itu perlu saya jalani. Memang kehidupan itu ada naik dan turunnya. Saya rasa saya sudah diberikan kebahagiaan dan keuntungan.

"Jadi, ini detik untuk saya terus belajar lagi. Paling penting, saya perlu terima apa yang hadir dalam hidup saya pada ketika itu," katanya.

Tidak sekadar mempersembahkan lagu popularnya, Bunga turut berkongsi curahan hati, sekali gus bermain emosi dengan penonton.

"Saya sudah pernah berbicara mengenai ini di mana-mana pentas yang saya muncul. Tapi, kali terakhir saya muncul di pentas yang saya berdiri sekarang adalah pada 2018.

"Pada ketika itu, Asyraf duduk di kerusi barisan paling hadapan dan kini, saya masih dapat bayangkan dia ada di situ. Saya berusaha menerima apa yang berlaku dalam hidup. Saya tahu, bukan saya seorang saja yang mengalami situasi ini.

"Banyak penyesalan dan rasa bersalah yang membuatkan setiap hari saya bangun dan menangis supaya saya dapat senyum sepanjang hari," katanya.

Menurutnya, dia tidak malu untuk kongsikan mengenai kisah dan perasaannya kerana itu adalah kenangan.

"Ia bukan sesuatu yang saya patut rasa malu untuk saya kongsikan. Perlahan-lahan saya berusaha menerima bahawa ini adalah hakikat dan kenyataan walaupun ia mengambil masa berbulan-bulan," katanya.

Bercerita mengenai kota Kuala Lumpur, Bunga mengimbau kenangan awal perkenalannya dengan Ashraf.

"Perjalanan cinta bersama Ashraf dimulakan di Kuala Lumpur, di mana saya bertemu cinta hati saya. Ketika itu kami masih dalam usia 20-an di mana rasa cinta itu masih berapi-api.

DARI kiri ibu bapa BCL, anaknya, Noah Sinclair dan ibu bapa mentua turut menyaksikan Konsert BCL-Blossom Intimate yang berlangsung di Plenary Hall, KL Convention Centre.
DARI kiri ibu bapa BCL, anaknya, Noah Sinclair dan ibu bapa mentua turut menyaksikan Konsert BCL-Blossom Intimate yang berlangsung di Plenary Hall, KL Convention Centre.

"Ketika itu saya bertemu lelaki dari Malaysia yang bagi saya sangat kacak. Akhirnya saya berkenalan dengannya. Kebetulan pada ketika itu saya juga mempromosikan album pertama saya.

"Di situ saya bertemu Ashraf. Pada masa sama, saya juga menyiapkan album kedua saya dan salah satu lagunya adalah ungkapan rasa ketika awal perkenalan dan pertemuan dengan Ashraf berjudul Tentang Kamu," katanya.

Dari seorang wanita terbahagia, Bunga melalui fasa sebagai wanita menderita, namun kekuatan demi kekuatan terus disalurkan oleh keluarganya dan keluarga mentua.

"Ketika itu, saya ada suami yang saya sangat kagumi dan anak yang comel. Saya rasa itu adalah detik terhebat dalam hidup saya seterusnya lahir lagu Wanita Terbahagia.

"Beruntung itu tidak selamanya. Setiap manusia ada kisahnya tersendiri. Mungkin sampai sekarang masih ada beberapa bahagian di hari itu yang sukar untuk saya ingati.

"Tapi, saya cuba mencari sesuatu di sebalik kehilangan. Dari seorang wanita yang paling bahagia, saya menjadi wanita yang paling menderita. Saya menjalani proses bersedih. Namun, untungnya saya memiliki keluarga serta keluarga mentua yang sangat menyokong saya," katanya.

Di Konsert BCL - Blossom Intimate, Bunga mempersembahkan hampir 20 lagu yang terdiri daripada pelbagai genre dan susunan muzik yang segar untuk disajikan kepada penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 6:00 AM